Mansuh hukuman mati mandatori beri hakim pilihan lebih luas - Peguam

Irfan Faruqi
Mac 31, 2023 09:15 MYT
Pemansuhan hukuman mati mandatori memberikan lebih kuasa budi bicara kepada hakim untuk menilai sesuatu kes daripada semua sudut. - Gambar hiasan/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Memansuhkan hukuman mati mandatori akan memberikan hakim ruang lebih luas untuk menentukan hukuman yang lebih setimpal kepada pesalah.
Peguam dan aktivis Samantha Chong menjelaskan, dalam masa yang sama, hukuman mati masih dikekalkan untuk jenayah tertentu, khususnya melibatkan jenayah berat.
“Maksud mandatori itu ialah wajib. Jadi, jika sabit kesalahan, hakim tiada pilihan lain kecuali memberi hukuman mati. Sebab, satu sahaja hukuman yang ada.
“Jadi apa yang kerajaan sedang buat adalah memberi kuasa kepada hakim untuk menentukan hukuman itu, sama ada sepatutnya hukuman mati atau hukum penjara sampai 40 tahun dan 12 sebatan,” katanya dalam program Dialog Tiga Penjuru terbitan Astro AWANI pada Khamis.
Mansuh hukuman mati mandatori, beri hakim pilihan hukuman yang lebih luas
Chong berkata, implikasi pemansuhan hukuman mati mandatori tidak menghalang hakim untuk meneruskan dengan keputusan menjatuhkan hukuman mati kepada tertuduh.
Ini bagi kesalahan-kesalahan tertentu yang ditetapkan oleh undang-undang berkuat kuasa.
Pada satu sisi lagi, pemansuhan ini memberikan lebih kuasa budi bicara kepada hakim untuk menilai sesuatu kes daripada semua sudut, khususnya bagi kes yang memerlukan hakim menimbang latar belakang sesuatu jenayah yang rumit.
“Contohnya seorang isteri yang diseksa dan didera oleh suami kaki botol. Suatu hari, isteri tidak tahan lagi dan membunuh suami tersebut.
"Sekiranya hukuman mati adalah mandatori, hakim tidak boleh mempertimbangkan sejarah penderaan dan keadaan mental si isteri.
“Jika hukuman mandatori dimansuhkan, maksudnya hakim dalam kes tersebut boleh menjatuhkan hukuman mati... atau memberi pertimbangan mengenai isu penderaan, keganasan rumah tangga dan keadaan mental isteri tersebut dan beri hukuman ganti,” jelasnya.
Dialog Tiga Penjuru: Di sebalik hukuman mati mandatori
#Dialog Tiga Penjuru #hukuman mati mandatori #jenayah #mahkamah
;