Mansuh biasiswa: 'Masyarakat perlu faham isi perbincangan kerajaan' - Fathul Bari

Wan Syamsul Amly
Januari 22, 2016 13:37 MYT
FATHUL BARI: Sebenarnya yang dibincangkan oleh kerajaan bukanlah pemotongan bajet biasiswa pelajar sebaliknya adalah penilaian semula kelayakan penerima dari beberapa perspektif supaya dapat dioptimiskan penyalurannya.
Masyarakat perlu jelas isi kandungan perbincangan kerajaan mengenai isu pemansuhan biasiswa yang dikatakan akibat kegawatan ekonomi.
Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Fathul Bari Mat Jahya berkata, perbincangan itu sebaliknya adalah penilaian semula kelayakan penerima biasiswa dari beberapa perspektif yang ditentukan.
"Satu hal yg mengejutkan rakyat Malaysia apabila tersebar desas desus bahawa kerajaan akan memansuhkan biasiswa pelajar akibat dari kegawatan ekonomi.
"Saya telah menghubungi beberapa pegawai Kementerian Pelajaran Tinggi dan pegawai Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Sebenarnya yang dibincangkan oleh kerajaan bukanlah pemotongan bajet biasiswa pelajar sebaliknya adalah penilaian semula kelayakan penerima biasiswa dari beberapa perspektif supaya dapat dioptimiskan penyalurannya kepada kumpulan sasar yang lebih tepat.
"Salah satu sudut yang diteliti adalah tentang pelajar-pelajar yang menerima biasiswa namun tidak menamatkan pengajiannya sama ada kerana gagal, malas atau selainnya. Setakat ini saya difahamkan tiada mekanisme yang jelas untuk menyelia situasi trsebut. Jadi, sudah tentu pembiayaan yg dikeluarkan sia-sia sahaja," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan akan menggubal model baharu dalam pemberian biasiswa JPA dalam masa terdekat.
Tegasnya, langkah itu bagi mencegah penerima biasiswa daripada mengelak untuk berkhidmat dalam sektor perkhidmatan awam.
Sementara itu, jelas Fathul Bari, mahasiswa sendiri perlu sedar dan memastikan sentiasa bijak dalam pengurusan wang negara yang diterima.
"Jika kita mendesak pihak lain seperti kerajaan supaya menguruskan wang negara dengan baik, maka kita juga perlu bermuhasabah; adakah kita menguruskan wang negara yang diamanahkan kepada kita atas nama biasiswa dgn baik?
"Kementerian berkenaan, JPA dan beberapa institusi lain sedang berbincang tentang langkah penyelesaian bagi isu tersebut.
"Maka saya mohon mereka ini bersabar. Berilah peluang kepada pihak berkenaan untuk menghasilkan keputusan yang seimbang bagi menjaga kepentingan ekonomi dan ilmu," jelasnya.
Fathul Bari juga berpendapat, paling penting adalah pembangunan insan bukannya pembangunan fizikal selain meminta semua pihak bersabar serta memberi masa pihak berkenaan berbincang serta membuat keputusan terbaik demi mereka yang berkenaan.
#biasiswa #ekonomi malaysia #Fathul Bari Mat Jahya #kerajaan #mahasiswa
;