Mansuh bayaran pembaharuan lesen penjaja mulai tahun depan
Bernama
Disember 1, 2018 04:15 MYT
Disember 1, 2018 04:15 MYT
Kerajaan Negeri Sembilan akan memansuhkan bayaran bagi pembaharuan lesen penjaja bermula tahun hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri Teo Kok Seong berkata pemansuhan itu melibatkan pengurangan pendapatan tahunan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebanyak RM708,953 bagi seluruh Negeri Sembilan.
Katanya dengan pemansuhan itu, lebih 5,000 penjaja di seluruh Negeri Sembilan akan menerima manfaat tersebut yang mana ia selari dengan hasrat kerajaan negeri yang mahu mengurangkan beban rakyat.
"Walaupun kerajaan negeri membuat keputusan untuk memansuhkan bayaran pembaharuan lesen ini tetapi pembaharuan lesen tetap perlu dibuat setiap tahun, cuma mereka tidak dikenakan bayaran sahaja dan proses pembaharuan lesen berjalan seperti biasa.
"Melalui pemansuhan ini, PBT akan mengalami kekurangan pendapatan tahunan misalnya di Majlis Perbandaran Seremban akan mengalami kekurangan pendapatan lebih kurang RM114,000 setahun, manakala di Nilai sebanyak RM130,000," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Pasar Besar Seremban di sini, pada Sabtu.
Tambahnya, pemansuhan bayaran adalah berbeza antara RM32 sehingga RM150 mengikut kategori penjaja termasuk penjaja trak makanan (Food Truck).
Dalam pada itu, Kok Seong memberitahu pembinaan dan kerja-kerja menaik taraf tingkat satu Pasar Seremban kini sudah mencapai 70 peratus, dan dijangka ianya akan siap sebelum Tahun Baru Cina.
Bagaimanapun katanya, peniaga dinasihatkan supaya berpindah masuk ke dalam bangunan itu selepas perayaan Tahun Baru Cina pada Febuari 2019, bagi mengelakkan sebarang kesulitan.
-- BERNAMA