Mansuh AP tidak selesai isu kos makanan - Sim Tze Tzin

Sinar Harian
Mei 20, 2022 09:15 MYT
Sim Tze Tzin berkata pemansuhan AP import makanan tidak akan mencapai matlamat mengurangkan kos harga makanan sebab hanya melibatkan lima jenis makanan. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Kerajaan seharusnya meningkatkan kapasiti pengeluaran makanan bagi memenuhi keperluan 32 juta rakyat di negara ini.
Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkata, perkara ini dipanggil 'food sovereignty' atau kedaulatan makanan.
"Kedaulatan makanan bertujuan meningkatkan kapasiti petani, nelayan, penternak kecil dan sederhana dalam negara untuk memenuhi keperluan makanan setempat.
"Dasar yang memansuhkan permit import (AP) walaupun nampak populis, tapi tidak akan menyelesaikan masalah kos makanan jika kerajaan tidak meningkatkan kapasiti pengeluaran makanan para petani, nelayan dan penternak domestik," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini menyatakan bahawa AP bekalan makanan tidak lagi diperlukan berkuat kuasa serta-merta.
Ismail Sabri berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat kabinet pada Rabu.
Tze Tzin yang juga bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani menambah, pemansuhan AP yang diumumkan oleh kerajaan itu sebenarnya tidak membawa kesan yang banyak.
Menurutnya, ini disebabkan AP makanan hanya melibatkan lima jenis iaitu kubis bulat, kelapa tua biji, susu cair, keratan ayam dan beras.
"Pemansuhan AP import makanan tidak akan mencapai matlamat mengurangkan kos harga makanan sebab hanya melibatkan lima jenis makanan.
"Kerajaan seharusnya memahami dengan lebih dalam industri pertanian dan rantaian makanan," tegasnya.
Jelasnya, punca kenaikan harga makanan adalah disebabkan kebergantungan kepada pengimportan makanan.
"Malaysia mengimport RM55 bilion makanan pada tahun 2020. Apabila harga makanan antarabangsa naik, maka harga makanan Malaysia juga naik kerana kita import.
"Apabila ringgit Malaysia jatuh ke paras RM4.40 berbanding AS$1, harga makanan naik kerana kita bayar negara pengeluar dalam dolar AS.
"Kebergantungan keterlaluan terhadap import makanan adalah punca harga makanan naik," ujarnya.
*Berita asal di Sinar Harian
#Sim Tze Tzin #kedaulatan makanan #tingkat kapasiti pengeluaran makanan #Food sovereignty #KPDNHEP
;