Mansuh Akta Hasutan: Badan Peguam lulus usul, anjur protes aman

Astro Awani
September 19, 2014 23:32 MYT
Leong (tengah) memegang usul memansuhkan Akta Hasutan. -Gambar AWANI
Badan Peguam Malaysia dalam mesyuarat agung luar biasanya (EGM) hari ini meluluskan usul memansuhkan Akta Hasutan 1948 dan mengadakan protes berjalan kaki secara aman.
“Badan Peguam Malaysia menggesa Majlis Peguam untuk segera menganjurkan protes aman and mengambil tindakan selanjutnya yang dianggap setimpal bagi menjulang prinsip Badan Peguam Malaysia,” kata pengerusinya Christopher Leong.
Badan itu turut menggesa Kerajaan Persekutuan agar mematuhi janji untuk memansuhkan akta itu dengan serta-merta serta Peguam Negara untuk segera menarik balik segala dakwaan, kes dan menggugurkan semua rayuan di bawah Akta Hasutan.
EGM yang meluluskan usul tersebut serta langkah mengadakan protes aman itu berlangsung jam 3 petang tadi di Dewan San Choon, Wisma MCA, di Jalan Ampang.
Ini bukan kali pertama Badan Peguam Malaysia mengadakan perarakan secara aman.
Pada September 2007, lebih 2000 ahli Badan Peguam Malaysia dan kalangan rakyat Malaysia telah mengadakan perarakan dari Istana kehakiman ke pejabat Perdana Menteri menggesa kerajaan membentuk penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja.
“Peguam tidak berarak setiap hari. Bahkan bukan setiap bulan. Tetapi apabila bila mula berarak, maksudnya ada sesuatu yang tidak kena berlaku,” kata mantan pengerusi Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan.
#christopher leong #Sedition Act 1948
;