Mansuh Akta Antiberita Tidak Benar diluluskan Dewan Rakyat, sekali lagi

Harits Asyraf Hasnan
Oktober 9, 2019 17:39 MYT
Dewan Rakyat sekali lagi memansuhkan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 selepas ditolak di Dewan Negara sebelum ini. - Gamnbar Astro AWANI
Dewan Rakyat sekali lagi memansuhkan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 selepas ditolak di Dewan Negara sebelum ini.
Pemansuhan itu diluluskan selepas Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2019.
Keputusan itu dicapai selepas dua sesi undian belah bahagian dilakukan iaitu di peringkat Dasar dan Jawatankuasa.
Sejumlah 92 Ahli Parlimen bersetuju berkenaan usaha pemansuhan tersebut berbanding hanya 51 sahaja yang menolak usaha Kerajaan itu.
Keputusan itu dicapai selepas ia dibahas selama dua hari sejak semalam.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin yang menggulung sesi perbahasan itu diasak dengan pelbagai celahan Ahli Parlimen pembangkang yang tidak berpuas hati sambil mengajukan soalan untuk penjelasan.
Pada Isnin lalu, Kerajaan sekali lagi membentangkan RUU tersebut selepas ditolak Dewan Negara pada September tahun lalu.
Dalam sidang Dewan Negara itu, RUU Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2018 ditolak selepas undi belah bahagian menyaksikan 28 anggota dewan tidak menyokong pemansuhan akta itu berbanding 21 yang menyokong, manakala tiga yang lain memilih untuk tidak mengundi.
Usul undi belah bahagian dikemukakan Senator Khairul Azwan Harun sebaik sahaja Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin, selesai menggulung RUU itu untuk bacaan kali kedua.
RUU itu yang bertujuan memansuhkan Akta Antiberita Tidak Benar 2018, diluluskan di Dewan Rakyat pada 16 Ogos tahun lalu selepas bacaan kali ketiga.
#Akta Antiberita Tidak Benar #Dewan Rakyat #dimansuhkan #Rang Undang-undang Antiberita Tidak Benar Pemansuhan 2019
;