Manogaran enggan dikaitkan dengan isu ugut Tok Batin
Arfa Yunus, Isabelle Leong
Januari 12, 2019 12:51 MYT
Januari 12, 2019 12:51 MYT
Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands M Manogaran enggan dikaitkan dengan komen dibuat Anggota Dewan Negara, Senator Bob Manolan Mohamad berhubung isu pemimpin masyarakat Orang Asli atau Tok Batin.
Menurut Manogaran, dari parti DAP, beliau tidak menjangkakan kenyataan sedemikian akan dibuat oleh ahli politik PKR itu.
Disebabkan itu, katanya, beliau mahu menjauhkan diri dari kenyataan itu sepanjang tempoh berkempen.
Pada Jumaat, sebuah portal tempatan melaporkan Bob telah mengugut para Tok Batin di Cameron Highlands dengan memberi amaran bahawa mereka boleh kehilangan jawatan dan gaji jika tidak menyokong kerajaan persekutuan hari ini.
"I will distance myself from the comment. Dan saya rasa beliau sudah pun buat penjelasan," kata Manogaran kepada wakil media di Pusat Penamaan Calon PRK Cameron Highlands di SMK Tanah Rata di sini hari ini.
Turut dilaporkan, beberapa orang Tok Batin berang dengan kenyataan Bob itu lantas membidasnya sebagai cubaan memperlekeh masyarat Orang Asli.
Pada masa sama, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi akaun Twitter miliknya menegaskan, tidak ada paksaan dalam demokrasi dan beliau mahu Bob segera menjelaskan kenyataannya.
Terdahulu hari ini, Suruhanjaya Pilihan Raya SPR mengumumkan pertandingan empat penjuru bagi PRK Cameron Highlands yang melibatkan Manogaran, Ramli Md Nor (Barisan Nasional), Wong Seng Yee dan Sallehudin Talib, kedua-duanya calon Bebas.
#amaran
#Bob Manolan Mohamad
#Cameron Highlands
#M Manogaran
#Orang Asli
#pilihan raya kecil
#Tok Batin
#ugut