Manja, lembu sado 500kg laris di Aidiladha

Vivi Sumanti
Ogos 23, 2018 10:26 MYT
Lembu jenis baka Charolais berusia dua tahun lima bulan itu dijual dengan harga RM1,200 satu bahagian.
Seekor lembu sado seberat lebih 500 kilogram menjadi tumpuan sempena ibadah korban Aidiladha di Kampung Telosan di sini.
Lembu jenis baka Charolais berusia dua tahun lima bulan itu dijual dengan harga RM1,200 satu bahagian.
Pemiliknya, Shaffei Yusof, 55 tahun berkata, pada mulanya dia hanya bergurau mahu menjual lembu yang dipanggil Manja dengan menawarkan haiwan itu untuk dijadikan korban, Ahad lalu.
Katanya, dia bagaimanapun terkejut apabila tawaran itu mendapat permintaan yang luar biasa kerana tujuh bahagian lembu berjaya dijual kurang tiga jam ditawar melalui aplikasi WhatsApp.
"Saya buka jualan tiga hari sebelum raya. Saya hantar mesej ke WhatsApp lebih kurang jam 9 malam.
"Jam 12 malam kesemua tujuh bahagian telah dimiliki orang," katanya ketika ditemui di tempat penyembelihan di Kampung Telosan, di sini.
Manja yang bersaiz lebih dua kali ganda daripada lembu kampung biasa dijangka diagihkan daging dan tulang dengan berat lebih 50 kilogram satu bahagian berbanding hanya 10 kilogram pada harga biasa iaitu RM600 satu bahagian.
Ketua Kampung berkenaan, Safie Yusof, 53 tahun, berkata korban lembu sebesar itu adalah yang pertama kali berlaku dan ia mengujakan penduduk kampung dan sekitar.
Katanya, penternakan lembu sado dari jenis Limosin dan Charolais berkembang pesat di kalangan penduduk kampung sejak beberapa tahun lalu.
"Sehingga kini, kira-kira 15 penternak lembu sado ada di kampung ini dan bagi korban lembu dengan harga dua kali ganda lebih mahal, saya anggap pembeli lembu ini seorang yang 'berani' kerana harganya yang jauh lebih mahal daripada lembu biasa," katanya.
Bagi pakar lembu sado, Che Abdul Aziz Che Mustapha, 37, daging lembu sado lebih enak berbanding lembu kampung biasa.
Katanya, daging lembu sado lebih bersalut lemak berbanding lembu kampung yang kurang lemak dan isi lebih pejal.
#Aidiladha #Charolais #hari raya haji #Ibadah Korban #Kampung Telosan #lembu sado #Limosin #Shaffei Yusof
;