Manipulasi tender kerajaan: SPRM perlu diberi kuasa pendakwaan - JPKK
Astro Awani
September 8, 2021 17:29 MYT
September 8, 2021 17:29 MYT
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu diberikan kuasa untuk mendakwa syarikat yang didapati memanipulasi tender yang diperolehi daripada kerajaan.
Cadangan itu disuarakan Koordinator Nasional Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK), Danial Hakeem Azman sebagai salah satu usaha untuk mereformasikan sistem pemberian tender kerajaan.
Menurutnya, buat masa ini hanya Jabatan Peguam Negara mempunyai kuasa tersebut.
“SPRM kena ada kuasa pendakwaan bebas dari Jabatan Peguam Negara. Ini untuk elakkan Jabatan Peguam Negara tolak kes-kes yang berkaitan ahli politik atau ada hubungan dengan pejabat tersebut atau permintaan untuk tolak kes seperti ini.
“Pelantikan Ketua Pengarah SPRM juga perlu bebas daripada campur tangan pemerintah dan dipilih melalui jalan seperti satu sistem pilihan raya bagi tempoh yang ditetapkan.
“Jawatan tersebut hanya boleh dilucutkan jawatan oleh Yang di-Pertuan Agong,” katanya pada sidang media secara maya pada Rabu.
Selain berkaitan SPRM, JPKK turut mencadangkan kerajaan memansuhkan undang-undang kerahsiaan terutamanya Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 yang digunakan untuk menutup maklumat syarikat tidak sah semasa proses perolehan tender kerajaan.
Tegasnya, semua tender kerajaan perlu dilakukan secara telus termasuk dengan membenarkan penglibatan orang awam dan semua dokumen pemberian kontrak dijadikan sebagai dokumen umum.
Dalam pada itu, penyelidik bebas, Pushpan Murugiah berpendapat kerajaan harus melakukan sesuatu terutamanya dalam menambah baik sistem e-perolehan yang masih terdapat beberapa kelemahan.
Menurutnya, berdasarkan kajian dilakukannya, dia mendapati sistem tersebut boleh dimanipulasi terutamanya kartel kerajaan dengan menggunakan pegawai-pegawai di beberapa jabatan.
“Kita mempunyai e-perolehan yang sepatutnya bagus dan kalau ikut betul-betul, boleh berjalan tapi masalahnya, kita manipulasi proses itu. Sebagai contoh, walaupun ada e-perolehan tapi kita juga mempunyai rundingan terus dengan syarikat.
“Ini tidak termasuk dalam e-perolehan dan kita tak boleh nak semak, kawal semua proses di sana. Kedua, bila ada pengaruh politik, proses itu boleh diubah suai untuk sesuatu syarikat yang mempunyai pengaruh politik.
“Ketiga, rasuah dan dalam isu kartel ini, urusetia boleh dibayar untuk simpan kontrak, tukar tender, manipulasi spesifikasi dan perkara seperti itu,” ujarnya.
Dakwa beliau, segalanya nampak seperti sah dari segi undang-undang namun ia melibatkan manipulasi dan mereka yang terlibat mendapat banyak wang daripada kegiatan itu.