Manila terus usaha cari penyelesaian aman - Aquino
Astro Awani
Mac 4, 2013 19:47 MYT
Mac 4, 2013 19:47 MYT
Pentadbiran Manila akan meneruskan usaha membantu menyelesaikan pencerobohan di Sabah melalui jalan keamanan.
Ketegasan itu dinyatakan presiden Filipina, Benigno Aquino III.
Pendirian Aquino itu dinyatakan dalam sidang medianya di Manila.
Tambah Aquino, pentadbiran Manila juga bimbang pencerobohan berterusan menjejaskan 800,000 rakyatnya yang menetap di Sabah.
Aquino juga mengesahkan ada menerima laporan risikannya yang mengaitkan dalang pencerobohan ini dengan individu yang pernah berada di dalam pentadbiran kerajaan Malaysia sebelum ini.
Presiden Filipina itu menyifatkan kumpulan bersenjata itu tidak berupaya melaksana gerakan pencerobohan secara bersendirian.
Tambah beliau, siasatan sedang dilakukan dan bukti-bukti sedang dikumpul oleh pasukan pihak berkuasa Filipina.
Dalam pada itu Duta Besar Filipina ke Malaysia J. Eduardo Malaya dan Setiausaha Rendah Luar Filipina Jose Brilliantes bertemu Menteri Pertahanan Malaysia Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein di Lahad Datu hari ini untuk mencari resolusi damai.
Brilliantes, yang juga Timbalan Menteri Luar Filipina, berada di Sabah bersama Malaya atas misi kemanusiaan konsulat untuk membantu.
Sebelum ini, pihak kedutaan Filipina meminta komuniti Filipina-Malaysia di pantai timur Sabah supaya bertenang dan mengelak mengambil sebarang tindakan yang mungkin merumitkan lagi keadaan.