Manifesto Umno Wilayah diumum selepas manifesto BN dilancar

Wan Syamsul Amly
Februari 3, 2013 21:23 MYT
Setiausaha Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, manifesto tambahan di Wilayah Persekutuan akan diumum selepas manifesto Barisan Nasional (BN) dilancar.
Manifesto tersebut adalah demi kesesuaian dan kehendak penduduk.
Ujar Syed Ali, salah satu kandungan tambahan itu akan menekankan keselesaan tempat tinggal.
“Yang kita nampak kita perlu pertengahkan adalah masalah perumahan kerana mereka datang dengan begitu ramai. Mereka perlu tempat tinggal sebab itu kita tekankan perumahan rakyat perlu diperbanyakkan di seluruh kawasan untuk beri kepada mereka yang nak berhijrah tinggal di Kuala Lumpur," kata beliau.
Ujarnya, kandungan manifesto tambahan lain yang akan diumumkan pasti memberi impak kepada peningkatan taraf kehidupan.
Dalam pada itu, kerjasama Umno dengan parti komponen Wilayah Persekutuan disifatkan dalam situasi terbaik menjelang pilihan raya.
Ketika ditanya tentang calon yang akan diletak, Syed Ali menjelaskan, “Saya ingat tahun lepas lagi dah bincang nama tu semua, Tan Sri Muhyiddin dah ambil kira faktor dan ciri nama-nama tu semua dan akhirnya ia keputusan Presiden parti.”
Justeru, usaha kini ditumpu di kawasan boleh menang selain berusaha menawan beberapa kawasan hitam untuk BN Wilayah Persekutuan.
#Barisan Nasional #BN #Datuk Seri Syed Ali Alhabshee #Manifesto #Wilayah Persekutuan
;