Manifesto BN Perak jamin masa depan lebih cemerlang
Harits Asyraf Hasnan, Abd Razak Mohd Ali
April 21, 2018 16:02 MYT
April 21, 2018 16:02 MYT
Kepimpinan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) Perak yakin manifesto yang dilancarkan mampu menjamin masa depan lebih cemerlang untuk rakyat negeri ini.
Mereka sependapat, Manifesto BN Perak bukan sekadar janji seperti manifesto pembangkang, sebaliknya tekad dan kesungguhan BN untuk merealisasikannya.
Pengerusi MCA Perak, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, manifesto itu melihatkan kesinambungan gerak kerja dan perancangan untuk membina Perak yang lebih cemerlang.
Menurut beliau, ia merupakan perancangan yang dibuat dengan begitu rapi selepas pencapaian yang baik sejak BN menerajui kepimpinan negeri.
"Dengan adanya manifesto yang kita lihat, yang mengutamakan rakyat daripada semua kalangan, kelompok dan semua kaum.
"Dengan kebolehan kita untuk melaksanakan segalanya, semestinya manifesto ini akan menjadi manifesto yang bukan saja diterima baik, tetapi disukai oleh rakyat," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran manifesto itu oleh Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Dr Mah yakin, dengan pelancaran manifesto itu, rakyat di negeri Perak akan memberi sokongan penuh kepada kerajaan BN.
Pengerusi MIC Perak, Datuk V Elango berkata manifesto itu jelas membuktikan bahawa BN mengutamakan kehendak dan keperluan rakyat.
Menurut beliau, ia juga selaras dengan slogan 'Tiada Tertinggal, Tiada Terpinggir' yang menjadi teras kepimpinan kerajaan negeri.
"Manifesto ini merangkumi semua teras utama kehidupan untuk menjamin kesejahteraan rakyat, ekonomi dan sosial, termasuk untuk orang muda, wanita dan OKU," ujarnya.
Pengerusi MyPPP Perak, Ong Chee Keng pula berkata, BN membuat manifesto bukan sekadar untuk menarik undi rakyat semata-mata.
Sebaliknya, kata beliau, BN komited untuk melaksanakan segala tekad yang telah digariskan di dalam manifesto tersebut.
Menurutnya, rakyat juga boleh membuat penilaian manifesto BN untuk membawa pembangunan negeri, bukan seperti pembangkang.
"Pembangkang hanya tahu membangkang apa sahaja yang dilakukan kerajaan BN dan berdasarkan sejarah, BN jauh lebih baik memerintah Perak, berbanding pakatan lain...saya harap rakyat dapat membuat penilaian yang betul," katanya.
#Barisan Nasional
#ekonomi
#kerajaan
#Manifesto
#MCA
#MIC
#pembangkang
#rakyat
#wanita
#Zambry Abd Kadir