Mangsa tsunami cari bekas kapten kapal MV Durban Bridge

Bernama
April 18, 2019 10:00 MYT
Rizal terselamat selepas hanyut 100 batu nautika dari Banda Aceh di Lautan Hindi selama sembilan hari. - Foto BERNAMA
'Nyawa kedua' ini bagaikan tidak lengkap.
Itu luahan Rizal Sahputra Abdul Hamid, individu yang terselamat selepas hanyut 100 batu nautika dari Banda Aceh di Lautan Hindi selama sembilan hari, ketika bencana tsunami 15 tahun lepas.
Dia yang kini menetap di negara ini mengharapkan pertolongan masyarakat tempatan dan antarabangsa bagi mengesan bekas kapten kapal kargo dari Jepun MV Durban Bridge dan seorang kelasi, yang dianggapnya bagaikan 'penyambung nyawa'.
Rizal, 34 tahun, berkata kedua-dua mereka telah bertungkus-lumus menjaganya selama lima hari di atas kapal tersebut sebelum dibawa ke Pelabuhan Klang, Selangor untuk rawatan lanjut.
Menyedari pencariannya agak sukar kerana tidak mempunyai sebarang maklumat tepat terhadap dua individu terbabit, Rizal berkata dua keping gambar yang disiar di media tempatan adalah petunjuk pencarian itu setakat ini.
Ketika ditemu bual Bernama baru-baru ini, Rizal berkata, apabila tiba di atas kapal kargo tersebut, kelasi itulah yang memandikan dan menyuap makan kepadanya setiap hari malah sanggup mengangkatnya ke bilik air akibat kecederaan di kaki kedua-dua belah tangannya yang patah.
"Dalam keadaan berkomunikasi bagaikan 'ayam dengan itik' itu jugalah saya difahamkan kapten kapal itu adalah orang yang pertama terlihat saya terapung di lautan dan dia bersungguh-sungguh meminta pasukannya bersedia untuk menyelamatkan saya.
"Bayangkan dalam banyak kapal yang melintasi saya sejak hari keempat hingga kesembilan itu, hanya kapal MV Durban Bridge sahaja yang akhirnya terlihat kelibat saya, ia bagaikan aturan Tuhan yang sangat unik," katanya yang kini bertugas sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) Universiti UCSI, Kampus Terengganu.
Rizal berkata kapal yang dalam perjalanan ke Malaysia dan Singapura dari Afrika Selatan itu menghampirinya dalam tempoh masa antara waktu asar ke maghrib (selepas mereka terlihat Rizal Sahputra dari jauh) dan hanya bergerak perlahan bagi mengelak air laut bergelombang, yang mungkin akan menyebabkan dirinya hanyut.
Kesungguhannya mencari dua lelaki terbabit bukanlah baru bermula sebaliknya Rizal telah menjejak mereka beberapa tahun lalu terutama selepas trauma akibat bencana yang meragut nyawa kira-kira 250,000 orang di 14 negara itu, mulai hilang daripada fikirannya.
Dia telah ke Kedutaan Jepun di Kuala Lumpur pada 2008 dan 2009 namun tidak mendapat sebarang maklumat kerana tiada rekod lengkap, pernah juga ke Pelabuhan Klang pada 2006 dan 2009 apabila mengetahui MV Durban Bridge akan berlabuh di situ.
"Malangnya kapten kapal yang baharu menyatakan mereka tidak mempunyai rekod pekerja lama dan kesemua kelasi juga telah bertukar," katanya yang berhasrat melengkapkan perjalanan hidupnya dengan peluang bertemu serta membalas budi mereka berdua.
Menurutnya lagi, apabila tiba di negara ini, kapten dan anak kapal terbabit dibenarkan berada di pelabuhan dalam beberapa minit sahaja kerana tertakluk pada undang-undang dan mereka hanya sempat berpelukan serta saling mengucapkan terima kasih dalam bahasa masing-masing.
Sepanjang perkenalan, anak kapal tersebut telah meminta izinnya untuk menyimpan baju serta seluar yang dipakainya ketika ditemui itu sebagai kenang-kenangan manakala dirinya diberi pakaian baharu.
Menceritakan semula pengalaman berdepan dengan tsunami pada 26 Dis 2004, yang bermula dengan gegaran kuat sebelum ombak besar menerjah darat, Rizal berkata dua hari pertama adalah saat bergelut dengan nyawa manakala bermula hari ketiga paling meruntun jiwa, apabila melihat ribuan mayat manusia telah mula timbul di permukaan air.
Rizal berkata semua anggota keluarganya telah meninggal dunia kecuali seorang abang, Ronal Sahputra, 36 tahun, manakala penduduk di kampungnya, Calang, dekat Banda Aceh yang berjumlah 17,000 orang ketika itu, hanya 17 orang sahaja yang terselamat.
"Apabila pulang, saya tidak lagi mengenali tempat itu. Saya pernah dibawa oleh kru televisyen antarabangsa kira-kira Mei 2005 tetapi pulang semula ke Malaysia kerana gagal menahan perasaan dan masih trauma," katanya yang kini telah berkahwin dengan seorang wanita dari Aceh dan mempunyai seorang anak.
Kini, kawasan penempatan peninggalan keluarganya telah didirikan sebuah rumah tetapi dijadikan penginapan percuma kepada mereka yang kurang berkemampuan serta kebun kelapa diurus oleh penduduk setempat serta hasilnya akan disedekahkan.
Sepanjang dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang bekas Timbalan Duta Indonesia ke Malaysia Abdurrahman Mohammad Fachir menjadi keluarga angkatnya dan telah memberi galakan supaya menyambung pelajaran hingga berjaya memperoleh ijazah pada 2011 dalam jurusan Bahasa Inggeris dan Komunikasi.
"Pada awal 2012 saya balik ke Aceh untuk menjaga sepupu yang menghidap kanser. Di sana saya lakukan pelbagai pekerjaan termasuk menjual ikan. Dalam tempoh itu saya sempat juga bekerja sebagai pegawai kerajaan Aceh tetapi sebulan sahaja.
"Pada Mei 2012, setelah sepupu sihat, saya ke Jakarta untuk bekerja di cawangan UCSI dan bermula Jan 2013 saya kembali ke Malaysia kerana menyedari diri saya lebih sesuai di sini," katanya yang kini fasih berbahasa Malaysia dan Inggeris.
Rizal Sahputra memperoleh sarjana pada 2016 dalam jurusan pentadbiran perniagaan dan kini dalam pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) dalam jurusan pengurusan perniagaan di UCSI.
-- BERNAMA
#hilang #Indonesia #Jakarta #Jepun #keluarga #kerajaan #Kuala Lumpur #lelaki #Malaysia #mangsa #mayat #meninggal dunia #MV Durban Bridge #operasi #tsunami
;