Mangsa tragedi katamaran akan dirawat seminggu lagi - Pengarah QEH1
Bernama
Januari 31, 2017 22:21 MYT
Januari 31, 2017 22:21 MYT
Semua 20 pelancong China yang diselamatkan dalam tragedi bot karam Sabtu lalu dijangka dirawat di Hospital Queen Elizabeth 1 untuk sekurang-kurangnya seminggu lagi.
Pengarah hospital Dr Heric Corray berkata pesakit mengalami penyahhidratan dan hipertemia selain ada yang kulitnya melecur tahap pertama.
"Semua 20 pesakit dimasukkan (ke hospital) pagi semalam dan ditempatkan di wad berbeza.
"Namun kita akan tempatkan mereka di satu wad supaya mereka boleh saling memberi sokongan," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengiringi Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman yang melawat mangsa terbabit, di sini hari ini.
Ditanya mengenai bedah siasat ke atas tiga korban tragedi, Dr Corray berkata autopsi ke atas dua mayat sudah selesai semalam namun beliau belum menerima laporan daripada pakar forensik terbabit.
"Kami belum lakukan autopsi ke atas satu lagi mayat kerana masih menunggu kebenaran daripada keluarga mangsa," katanya.
Dua puluh mangsa itu diselamatkan di perairan Semarang berhampiran Labuan pada 29 Jan.
Mereka antara 28 pelancong China dan tiga kru yang menaiki bot jenis katamaran yang karam dibadai angin kuat dan ombak besar, sejam selepas meninggalkan jeti Tanjung Aru menuju Pulau Mengalum, kira-kira 58 kilometer di barat laut Kota Kinabalu, pada 10 pagi, 28 Jan.
Dua daripada kru kapal turut diselamatkan di perairan Semarang dan kini dalam tahanan polis bagi membantu siasatan.
Usaha mencari dan menyelamatkan mangsa lain sedang dijalankan.
-- BERNAMA