Mangsa tipu sindiket pekerjaan kongsi pengalaman semasa di Kemboja

Bernama
Oktober 31, 2022 08:20 MYT
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor Mohd Hairi Mad Shah (kiri) menyambut kepulangan empat rakyat Johor yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Kemboja. - Foto BERNAMA
JOHOR BAHRU: Pergerakan sentiasa diperhatikan dan dikawal 24 jam antara pengalaman pahit yang terpaksa dilalui tujuh rakyat Malaysia termasuk seorang wanita berusia 18 hingga 34 tahun berasal dari Johor yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja.
Seorang daripada mangsa Wan (bukan nama sebenar), 34, berkata selepas tiba di Kemboja, mereka ditempatkan kira-kira lima bulan di sebuah hotel di Kampung Sok, Phnom Penh yang dipercayai dijadikan pusat operasi sindiket penipuan itu.
Katanya sebelum ke Kemboja, mereka ditawarkan pekerjaan di sebuah kasino dengan gaji lumayan sebanyak AS$1,100 sebulan menerusi seorang ejen warga tempatan, namun dipaksa bekerja sebagai scammer (penipu) mata wang kripto dipercayai didalangi warga Taiwan sebaik tiba di negara itu.
"Kami tertarik dengan tawaran gaji, tetapi apabila sampai di sana indah khabar daripada rupa, pada mulanya ditawarkan sebagai pelayan kasino tetapi sebaik sahaja sampai di sana, kami dijadikan sebagai scammer.
"Jika kami tidak tandatangan kontrak (sebagai scammer) untuk enam bulan, kami disuruh bayar RM15,000 seorang untuk pulang semula ke tanah air dan kami semua terpaksa tandatangan," katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Wakil Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin di sini pada Ahad.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri Mohd Hairi Mad Shah.
Bagaimanapun, Wan yang berasal dari Kampung Melayu Paloh di Kluang berkata sepanjang lima bulan berada di Kemboja mereka tidak dibayar jumlah gaji seperti dijanjikan, namun menjelaskan tidak pernah dicederakan oleh sindiket penipuan itu.
"Kami tidak pernah dicederakan, tetapi ada mangsa lain sebelum ini pernah kongsi pengalaman dipukul dan diacu pistol...jadi sepanjang di sana kami tidak pernah membantah dan sentiasa mengikut arahan yang diberikan," katanya.
Menurut Wan, dia dan enam yang lain telah merancang selama sebulan untuk melarikan diri sebelum menghubungi Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) untuk mendapatkan bantuan dan berjaya melepaskan diri dengan memberi alasan mahu memotong rambut.
Sementara itu, seorang lagi mangsa Hawa (bukan nama sebenar), 30, berkata dia bersetuju untuk menerima tawaran bekerja di negara itu kerana ingin mengumpul wang bagi persiapan perkahwinannya.
Penipuan Kerja | Ini cerita mangsa penipuan pekerjaan di Kemboja
"Saya dan juga tunang sama-sama menerima tawaran itu, namun terperanjat apabila dimaklumkan akan melakukan kerja yang tidak berkaitan dengan tawaran asal. Mangsa penipuan bukan hanya warga Malaysia, tetapi ada juga dari India, China dan Indonesia," katanya yang berasal dari Skudai.
Dalam pada itu, Mohd Hairi berkata kerajaan negeri menanggung segala kos bagi membawa pulang kesemua tujuh mangsa itu termasuk penginapan, tiket, makan dan minum berjumlah kira-kira RM15,000.
Beliau berkata kerajaan negeri akan memantau dan membantu kesemua mangsa mendapatkan pekerjaan baharu memandangkan terdapat 19,000 kekosongan jawatan dalam pelbagai sektor di negeri ini.
"Ini pengalaman yang perlu mereka lalui, saya ingin ingatkan belia di negeri ini agar melihat peluang-peluang pekerjaan yang terdapat di Johor terlebih dahulu. Ini kerana terdapat lebih 50,000 pekerjaan dan hanya kira-kira 31,000 sahaja yang telah diisi, jadi masih banyak peluang pekerjaan di sini," katanya.
Baru-baru ini, tular sebuah rakaman video menerusi TikTok yang memaparkan tujuh mangsa penipuan itu merayu bantuan daripada kerajaan negeri untuk pulang ke tanah air setelah berjaya melarikan diri daripada sindiket itu dengan bantuan MHO.
-- BERNAMA
#mangsa sindiket #penipuan tawaran pekerjaan #Kemboja #rakyat Malaysia
;