Mangsa terakhir tragedi bot karam Kapit ditemui

Devonshire Sikem
Mac 15, 2024 17:15 MYT
Mayat Konstabel Iskandar Zulkarnain Ibrahim, 28, ditemui di kawasan Seputin, kira-kira dua kilometer daripada tempat kejadian. - Foto JBPM Sarawak
KAPIT: Mayat mangsa terakhir yang lemas akibat tragedi bot karam di Kapit pada petang Khamis lalu ditemukan jam 11.30 pagi Jumaat.
Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak, Henderi Ardimansyah berkata, mangsa, Konstabel Iskandar Zulkarnain Ibrahim, 28, ditemui di kawasan Seputin, kira-kira dua kilometer daripada tempat kejadian.
"Kami dimaklumkan oleh orang awam yang ternampak mayat terapung di sungai dan menerusi proses pengecaman pada pakaian yang dipakai mangsa, didapati mangsa merupakan penumpang terakhir insiden bot karam itu.
Dengan penemuan tersebut, kesemua empat mangsa yang lemas akibat insiden bot karam di Kapit ditemui.
Pada hari kejadian, bot malang yang dinaiki lima lelaki itu dalam perjalanan dari Melekun menuju Nanga Tulie apabila ia karam kira-kira jam 5.00 petang Khamis.
Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit digerakkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan berhubung insiden pada jam 5.40 petang.
Sebaik tiba di lokasi, bomba memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) menggunakan kaedah ‘water surface searching’ sekitar 1 kilometer dari lokasi kejadian.
Usai penemuan mangsa terakhir, operasi SAR ditamatkan pada 12.00 tengah hari oleh Ketua Polis Daerah Kapit.
#tragedi bot karam Kapit #mayat terakhir ditemui #Bomba Sarawak #Konstabel Iskandar Zulkarnain Ibrahim
;