Mangsa terakhir bot karam dijumpai, operasi SAR tamat

Hakim Rahman
Julai 19, 2015 17:11 MYT
Mayat mangsa dijumpai pada 2.58 petang terdampar di pantai di celah-celah pokok bakau di persisiran pantai Parit 4, Sekinchan.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa terakhir kejadian bot karam kira-kira dua batu nautika dari pantai Bagan Sungai Kajang, Khamis lalu tamat hari ini setelah mayat mangsa berjaya ditemui.
Penolong Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul ketika dihubungi Astro AWANI berkata pihaknya akan menutup operasi dan menjalankan pemantauan berkala bagi memastikan keselamatan di sekitar kawasan tersebut.
Operasi hari ini yang bermula sejak 9 pagi ditamatkan secara rasmi jam 4 petang tadi.
Mayat mangsa, G. Shankar, 25, dijumpai pada 2.58 petang terdampar di pantai di celah-celah pokok bakau di persisiran pantai Parit 4, Sekinchan dekat sini.
Bot malang yang dinaiki 14 penumpang terdiri daripada sembilan anggota keluarga dan lima pekerja berlepas dari jeti nelayan Sungai Kajang pada pukul 3 petang Khamis untuk satu upacara keagamaan.
Bot itu dikatakan bocor dan kesemua mangsa menimba air sebelum ia dilapor karam semasa dalam perjalanan pulang kira-kira dua jam kemudian.
Selain G. Shankar, enam mangsa yang telah dikenal pasti sebelum ini ialah A. Parianathan, 30; A. Muniamah, 49; K. Logaraj, 29; M. Gnaswdree, 59; G. Jaya Sangari, 27; dan M. Kunasegaran, 57.
Tujuh yang terselamat ialah P. Alumalai, M.Sugamaran, V. Nagaswari, N. Sanmugan, C. Sabtayan, C. Sundraja dan S. Partiven.
Mereka diselamatkan oleh nelayan tempatan.
#bot #karam #Mohd Sani Harul #operasi #ravi shankar #SAR #upacara keagamaan
;