Mangsa serangan gajah di Mersing ditidurkan

Bernama
September 27, 2024 21:56 MYT
Zalini cedera parah manakala rakannya meninggal dunia akibat diserang gajah selepas menghalau haiwan liar tersebut daripada mendekati kawasan SK Tenggaroh 5. - Bernama
MERSING: Seorang pekerja pembersihan kontrak yang cedera parah akibat diserang gajah di kawasan belukar di belakang Sekolah Kebangsaan (SK) Tenggaroh 5 di sini semalam, kini ditidurkan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Mersing DSP Sharif Shai Sharif Mondoi berkata mangsa, Zalini Dahlan, 51, masih lagi menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru.
"Saya dimaklumkan oleh isterinya bahawa Zalini telah ditidurkan (diintubasi) atas nasihat doktor, dipercayai bagi memulihkan kembali tenaganya.
"Difahamkan terdapat keretakan pada tulang pinggul dan satu tulang rusuk, serta pendarahan dalam kepala mangsa. Ini adalah maklumat yang kita peroleh setakat petang tadi," katanya ringkas ketika dihubungi hari ini."
Semalam, media melaporkan Zalini cedera parah manakala rakannya Mohamad Syafik Yakob, 31, meninggal dunia akibat diserang gajah selepas menghalau haiwan liar tersebut daripada mendekati kawasan SK Tenggaroh 5.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Ling Tian Soon dipetik berkata Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor akan melaksanakan kawalan dan pemantauan berterusan di kawasan Felda berkenaan dan operasi menangkap haiwan itu akan dimulakan serta-merta bagi memastikan keselamatan penduduk setempat
-- BERNAMA
#mangsa ditidurkan #serangan gajah #cedera parah #Tenggaroh
;