Mangsa sempat mohon maaf sebelum maut akibat kebakaran

Azizah Alwi
November 13, 2022 05:30 MYT
Bomba percaya kejadian api marak berlaku begitu cepat kerana banglo yang terletak di Jalan Bunga Tongkeng, Kuching ini dipenuhi bahan mudah terbakar yang banyak. - Foto Astro AWANI
KUCHING: “Pohon maaf sekiranya ada salah silap,” menjadi status pelik yang ditulis Aneeqa Affandi sekitar jam 2 pagi beberapa hari lalu, bagaikan petanda dia akan pergi selama-lamanya malam tadi.
Aneeqa, 35 tahun, yang bekerja sebagai penyambut tetamu di salah sebuah hotel butik di bandar raya ini maut dipercayai lemas setelah rumahnya terbakar dalam kejadian di Jalan Bunga Tongkeng, Kampung Gita di sini.
Turut maut, bapanya, Affandi Keli, 68 tahun, bekas Setiausaha Tetap di beberapa kementerian di negeri ini, termasuk Kementerian Perumahan yang ketika itu diterajui Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau juga pernah menjawat Pengarah Dewan Bandaraya Kuching Utara, sebelum itu.
Seorang lagi mangsa merupakan anak saudara Aneeqa, Nor Hasyidah Ajis, 22 tahun.
Dalam insiden tragis itu, ketiga-tiga mangsa sukar untuk menyelamatkan diri setelah api marak di tingkat bawah banglo dua setengah tingkat itu dengan cepat.
Rakan Aneeqa, Wan Edruce Abdul Hamid, 28 tahun, memberitahu, beliau menerima panggilan video daripada mangsa yang mengatakan rumahnya sedang terbakar sambil meluru ke bahagian atas rumah tersebut.
“Aneeqa sempat memberitahu api berpunca dari (tingkat) bawah rumah dan merebak dengan cepat, menyebabkan dia tanpa fikir panjang dan panik, berlari ke tingkat atas rumah untuk menyelamatkan diri," katanya.
Sementara itu, menurut Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri, Datu Khiruddin Drahman, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 7.03 petang.
“Apabila pasukan kita tiba di lokasi kejadian lapan minit kemudian, kita mendapati api sedang marak.
“Ketika melaksanakan kerja-kerja pemadaman, baharulah kita dimaklumkan oleh anak saksi bahawa bapa dan adik perempuannya, serta anak buah mereka kemungkinan besar berada di dalam rumah.
“Setelah kerja asas pemadaman dilakukan, pasukan operasi menggunakan tangga untuk ke tingkat atas, sebelum berjaya mendapatkan mangsa sekitar jam 8.40 malam, di dalam sebuah bilik," katanya.
Menurutnya, pihaknya percaya kejadian api marak berlaku begitu cepat kerana kediaman terbabit dipenuhi bahan mudah terbakar yang banyak.
“Banglo ini juga mempunyai hanya satu anak tangga, dan tidak ada laluan keluar, menyebabkan mereka terperangkap,” tambahnya.
Mayat ketiga-tiga mangsa yang masih sempurna dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Umum Sarawak untuk bedah siasat.
Turut hadir ke lokasi kejadian malam tadi ialah calon Parlimen P194 Petra Jaya, yang juga Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.
#mohon maaf #rumah terbakar #kebakaran di Kuching #tiga maut dalam kebakaran rumah
;