Mangsa sempat berpaut pada kayu sebelum lemas - Saksi

Sinar Harian
September 17, 2021 11:22 MYT
Lokasi kejadian mangsa ditemui selepas dipercayai lemas pada Khamis di Tasik Cermin, Puncak Perdana pada Khamis. -Foto Sinar Harian
SHAH ALAM: Polis mengesahkan tiada unsur jenayah melibatkan kes kematian seorang remaja lelaki yang ditemui lemas di Tasik Cermin, Puncak Perdana di sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, siasatan awal yang dijalankan mendapati remaja berumur 19 tahun itu mandi bersama enam lagi rakannya di lokasi kejadian.
"Siasatan dijalankan mendapati mangsa tenggelam di tasik berkenaan dan saksi kejadian turut memaklumkan sebelum tenggelam, mangsa sempat berpaut pada satu batang kayu.
"Pemeriksaan dan pengesahan oleh Medical Assistant (MA) Klinik Kesihatan Meru mendapati tiada sebarang kecederaan serta tiada unsur jenayah. Mangsa dipercayai meninggal akibat lemas," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.
Baharuddin berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Pada Khamis, seorang remaja lelaki berusia 19 tahun ditemui lemas di Tasik Cermin, Puncak Perdana di sini.
BACA: Pemuda meninggal dunia dipercayai lemas di Tasik Cermin
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, laporan berhubung kejadian itu diterima pada jam 4.08 petang dan pasukan bomba dari Balai Kota Anggerik tiba di lokasi 10 minit kemudiannya.
Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat itu dilakukan di permukaan air (water surface) dan selaman.
"Mangsa, R Puravinraj berjaya ditemui pada jam 4.33 petang dalam keadaan tidak sedarkan diri pada kedalaman empat meter.
"Mangsa disahkan telah meninggal dunia oleh pasukan medik dan kes diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.
*Berita asal di Sinar Harian
#remaja mati lemas #Tasik Cermin #mangsa sempat berpaut pada kayu #Baharudin Mat Taib
;