Mangsa runtuhan batu di Gunung Tabai selamat disemadikan
Nuzuluddin Abdul Razak
Mac 27, 2021 13:10 MYT
Mac 27, 2021 13:10 MYT
BAU: Mangsa runtuhan tanah dan batu ketika melombong emas di Gunung Tabai pada Selasa lalu, selamat dikebumikan sekitar pukul 12 tengah hari, hari ini.
Mendiang Martin Mat Tapa, 25 tahun itu dikebumikan di Perkuburan Kristian Katolik Kampung Bijuray, Bau.
Proses pengebumian itu mengambil kira prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 selain dikawal selia oleh Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung itu.
Mayat Martin sebelum ini berjaya dibawa keluar dari Gunung Tabai sekitar pukul 6.20 petang Jumaat dan dihantar ke Hospital Bau untuk bedah siasat.
Awal hari ini, proses pengebumian mendiang Martin diuruskan Chung Funeral Services and Coffin Supply.
Pada 23 Mac lalu, mangsa bersama dua rakannya melakukan aktiviti melombong di Gunung Tabai, sekitar jam 5.30 pagi sebelum dihempap tanah dan batu.
Untuk makluman, Perbadanan Hutan Sarawak (SFC) akan melantik penduduk tempatan sebagai renjer kehormat untuk mengawal selia, dan mengawasi kawasan Gunung Tabai, yang juga berada di dalam kawasan Taman Negara Dered Krian.
#Martin Mat Tapa
#mangsa runtuhan tanah
#Gunung Tabai
#Tanah Perkuburan Kristian Katolik
#Kampung Bijurav
#Bau