Mangsa ribut, puting beliung tidak akan terlepas bantuan kerajaan negeri - MB
Bernama
Februari 3, 2022 18:20 MYT
Februari 3, 2022 18:20 MYT
IPOH: Kerajaan negeri memberi jaminan bahawa semua mangsa ribut dan puting beliung akan menerima wang ihsan RM300 dan bantuan kerja membaik pulih rumah.
Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, peruntukan juga akan ditambah sekiranya tidak mencukupi, susulan terdapat mangsa yang mendakwa tidak menerima bantuan RM300 itu.
"Semasa mengumumkan bantuan itu saya menyebut sebanyak 219 buah rumah terkesan jadi saya memberitahu pegawai daerah untuk memberikan wang yang secukupnya pada hari berkenaan tetapi kemungkinan angka itu bertambah," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Perak (PCCCI) di sini hari ini.
Isnin lepas, Saarani ketika melawat lokasi kejadian mengumumkan mangsa yang dikenal pasti terlibat dalam kejadian tersebut, iaitu di Taman Desa Seri Chepor, Kampung Tawas, Taman Tasek Damai dan Kampung Seri Klebang Tambahan Jaya di sini, akan menerima bantuan kewangan sebanyak RM1,300.
Bantuan itu terdiri daripada wang ihsan kerajaan negeri sebanyak RM300 yang diberikan pada hari lawatan Saarani serta wang ihsan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) RM1,000 daripada Kerajaan Persekutuan yang akan diserahkan dalam masa terdekat.
Menurut Saarani, kontraktor juga akan dilantik segera untuk membaiki rumah, terutama atap yang diterbangkan angin, bagi mengelak kejadian lebih buruk berlaku sekiranya hujan.
Dalam kejadian kira-kira 6 petang Ahad lepas, ribut dan puting beliung menyebabkan kerosakan di empat kawasan berkenaan, selain tiang elektrik dan kira-kira 100 pokok tumbang, bagaimanapun, tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan.
Sementara itu, Saarani berkata kerajaan negeri akan mengadakan Hari Bersama Pelabur sebulan sekali sebagai sebahagian langkah membina semula ekonomi negeri.
"Saya yakin inisiatif ini bukan sahaja mampu menemukan kita dengan pelabur-pelabur yang berpotensi dan berkualiti, tetapi dapat menyediakan maklumat yang komprehensif, memberi khidmat nasihat serta bantuan kepada para pelabur yang ingin membuat pelaburan dan membuka operasi perniagaan di Perak," katanya.
Katanya, peranan InvestPerak sebagai pusat pelaburan juga akan diperkasa menerusi pelaksanaan pelbagai aktiviti promosi seperti pendigitalan 'No Objection Letter' (E-NOL) serta tawaran insentif prapakej Silver Valley bagi projek-projek berimpak tinggi, selain memudah cara dan mewujudkan suasana lebih kondusif untuk pelabur.
Sehubungan itu, Saarani berkata beliau telah meminta pihak InvestPerak supaya menjalin kerjasama lebih erat dengan agensi seperti Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) untuk memastikan negeri ini terus menjadi destinasi pelaburan.
Katanya, tumpuan akan diberikan kepada sektor yang mendapat permintaan tinggi di peringkat global seperti penghasilan produk sarung tangan, produk kesihatan, kelengkapan perubatan, automotif serta produk elektronik.
Pada masa sama, Saarani berkata kerajaan negeri melalui pelbagai agensi termasuk Sekretariat Pembangunan Usahawan Negeri Perak (SteP) dan Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) akan melipatgandakan usaha membantu golongan usahawan dalam menyediakan peluang serta tenaga kerja mahir yang diperlukan industri.
Tambahnya, kerajaan negeri juga komited untuk memantapkan perkhidmatan dan infrastruktur digital, bukan sahaja pendigitalan menyeluruh sistem penyampaian awam, tetapi juga bagi mencetuskan lebih banyak kolaborasi dan inovasi untuk memacu ekonomi digital di negeri ini.
-- BERNAMA