Mangsa ragut maut selepas seminggu koma

Vivi Sumanti
Januari 18, 2018 15:50 MYT
Maria Erianty Zakaria yang menjadi mangsa ragut di Kampung Sri Rebana, Machang yang koma sejak seminggu lepas akhirnya meninggal dunia pagi tadi. foto Ihsan Pembaca
KOTA BHARU: Seorang suri rumah yang menjadi mangsa ragut di Machang pada 11 Januari lalu meninggal dunia pagi tadi selepas koma lebih seminggu lalu.
Allahyarham Maria Erianty Zakaria, 40 tahun menghembuskan nafas terakhir di Hospital Universiti Sains Malaysia, (HUSM) Kubang Kerian jam 9.30 pagi tadi.
Maria Erianty, mengalami pendarahan dalam kepala akibat terjatuh dari atas motosikal dan kepalanya terhantuk batu dalam insiden ragut itu.
Dia telah menjalani pembedahan membuang darah beku pada 12 Januari lalu.
Allahyarham meninggalkan empat orang anak berusia dari 12 hingga 21 tahun dan suami, Mohd Zairie Mohamad Zain, 48 tahun yang juga seorang kakitangan Universiti Teknologi Mara, Machang.
Mangsa koma kerana cedera parah di kepala dan patah tangan kiri akibat terjatuh dari motosikal selepas diragut dua beradik di Kampung Sri Rebana, Machang, jam 6.30 petang 11 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Dzulkifli Ab Ghani, suspek berusia 26 tahun dan 14 tahun ditahan sejurus kejadian dan positif dadah jenis methamphetamine.
#ragut #mangsa ragut #koma #machang #Kota Bharu #mangsa ragut mati #peragut #polis #HUSM #UiTM Machang
;