Mangsa penderaan seksual dan liwat diberi kaunseling - Pengetua

Noraniza Kamsani
Mac 15, 2018 16:22 MYT
Para pelajar masih meneruskan pembelajaran dan proses hafazan di maahad tahfiz tersebut, namun prestasi mereka ternyata merosot, kata pengetua maahad itu. - Astro AWANI
Kesemua pelajar sebuah maahad tahfiz di sini yang menjadi mangsa penderaan seksual termasuk liwat sudah diberi kaunseling oleh pihak pengurusan maahad bagi memulihkan semangat mereka.
Menurut pengetua maahad yang berusia 38 tahun itu, sesi kaunseling diberikan secara berperingkat kepada pelajar berkenaan selepas kejadian terbongkar akhir bulan lalu.
"Kesemua pelajar terbabit juga masih meneruskan sesi pembelajaran seperti biasa dan akan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing sempena cuti sekolah yang bermula hari ini.
"Ini sudah menjadi kebiasaan maahad tahfiz ini setiap kali musim sekolah, mereka semua diberikan cuti selama dua minggu. Kita memberi kebenaran untuk semua pelajar di sini pulang lebih awal," katanya.
Suspek yang berusia 41 tahun itu ditahan polis Isnin lalu selepas pihak pengurusan maahad tahfiz itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan dan kini direman sehingga 19 Mac ini.
Lelaki berkenaan dipercayai meliwat enam pelajar berusia antara 14 hingga 17 tahun, yang dipercayai berlaku sejak Disember tahun lalu.
Suspek yang juga sukarelawan dan kerap memberi bantuan barangan keperluan dan pakaian di situ, dipercayai turut melakukan gangguan seksual terhadap 21 pelajar berusia antara 10 hingga 17 tahun.
Menurut pengetua maahad tahfiz itu, penderaan seksual yang berlaku turut mengakibatkan pembelajaran dan proses hafazan mangsa merosot.
"Sejak Ogos tahun lalu lagi, memang sudah nampak kemerosotan terutamanya pada enam mangsa liwat itu, tetapi saya tidak mensyaki apa-apa. Hanya selepas kejadian itu terbongkar akhir Februari lalu baru sayan tahu puncanya," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-tugas Khas Negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, kerajaan negeri akan membantu memberikan khidmat kaunseling kepada pelajar terbabit.
"Saya harap semua pusat tahfiz akan lebih berhati-hati dengan sukarelawan dan penderma yang dibenarkan terlibat rapat dengan pelajar bagi mengelakkan kejadian sebegini berlaku.
"Perbuatan ini tidak patut berlaku, apatah lagi di pusat tahfiz. Ini boleh menghilangkan kepercayaan orang ramai khususnya ibu bapa yang menghantar anak mereka untuk mendalami ilmu agama," katanya.
BACA: Dakwaan liwat: 'Saya kecewa, penderma dah seperti ahli keluarga'- Pemilik maahad tahfiz
BACA: Guru dakwa 21 pelajar tahfiz mangsa dera seksual
BACA: Enam pelajar tahfiz diliwat penderma
BACA: Adakan proses tapisan di institusi pendidikan, elak perbuatan keji - Lee Lam Thye
#dera seksual #liwat #Maahad Tahfiz #pelajar tahfiz
;