Mangsa pencemaran sisa kimia meningkat kepada 506
Hasimi Muhamad
Mac 13, 2019 20:51 MYT
Mac 13, 2019 20:51 MYT
Bilangan mangsa pencemaran bahan toksik yang dibuang di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang pada Khamis lalu kini meningkat kepada 506 orang keseluruhannya setakat hari ini.
Dalam sidang media khas yang diadakan pada Rabu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata daripada jumlah tersebut, seramai 166 mangsa sedang menerima rawatan di hospital dan sembilan individu berada di unit rawatan rapi (ICU).
Bagaimanapun, katanya sehingga kini tiada sebarang kematian dicatatkan akibat kejadian pencemaran sisa toksik itu.
Tegasnya, penyebaran sisa bahan kimia berbahaya itu boleh memberi kesan dalam radius 5 kilometer (km).
“Bahan kimia dari sungai itu dipengaruhi oleh beberapa faktor, antaranya tekanan suhu dan kelajuan (pergerakan) angin.
"Ini boleh menyebabkan bukan sahaja 5km (kawasan terjejas) tetapi lebih dari jarak tersebut,” katanya.
Jelasnya, beberapa langkah pencegahan perlu dipatuhi oleh orang awam, penduduk setempat dan petugas keselamatan bagi memastikan kesihatan berada pada tahap yang baik.
“Elakkan berada di kawasan kejadian. Dapatkan rawatan jika gejala-gejala seperti loya-loya, sesak nafas, muntah, sakit mata, sakit dada dan sebagainya.
“Orang awam dan petugas keselamatan diminta mengambil langkah-langkah pencegahan termasuk menggunakan alat pelindung diri yang sesuai dengan arahan pasukan bomba dan penyelamat,” katanya.
Selain itu, Dr Dzulkefly juga mengarahkan orang awam supaya menghentikan sebarang aktiviti riadah di kawasan Sungai Kim Kim dan membersihkan diri serta pakaian secara berasingan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.