Mangsa parah terkena bom ikan meninggal dunia
Sinar Harian
September 8, 2022 11:46 MYT
September 8, 2022 11:46 MYT
IPOH: Mangsa yang parah akibat terkena letupan bom ikan di Pusat Rekreasi Lata Kekabu di Lenggong Isnin lepas, meninggal dunia awal pagi Khamis.
Mangsa, Azlan Ali, 40, menghembuskan nafas terakhir pada jam 1.20 pagi selepas tiga hari menerima rawatan lanjut di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Taiping.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hasan Basri ketika dihubungi mengesahkan kematian mangsa.
"Ya, mangsa telah meninggal dunia awal pagi tadi, bedah siasat akan dijalankan hari ini (Khamis)," katanya.
Dalam kejadian sekitar jam 3 petang itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian tangan sementara rakannya, Amirudin Khairudin, 44, maut di tempat kejadian.
Siasatan awal polis tidak menolak kemungkinan, bahan letupan berkenaan dihasilkan sendiri berikutan penemuan pelbagai peralatan dan mercun bola.
Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.