Mangsa nahas SUV di Lebuhraya PLUS dipercayai diseludup masuk - Polis
Abd Razak Mohd Ali
Mei 19, 2019 20:20 MYT
Mei 19, 2019 20:20 MYT
Polis percaya 14 warga Myanmar yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 190.6 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, berhampiran susur keluar Plaza Tol Bukit Merah, di sini, pagi Ahad, cuba diseludup masuk ke negara ini.
Berdasarkan siasatan awal, polis tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri dan pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) Nissan X -Trail yang terlibat juga telah melarikan diri selepas kemalangan.
Dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, tiga maut, manakala 11 lagi cedera selepas kenderaan tersebut terbabas sebelum melanggar penghadang tepi lebuh raya.
Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak, Superintendan Zakaria Abd Rahman berkata, polis percaya kumpulan 13 lelaki dan seorang wanita itu cuba diseludup ke kawasan tertentu.
“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti sindiket terbabit,” katanya kepada pemberita di sini.
Kemalangan itu dipercayai disebabkan SUV berkenaan hilang kawalan sebelum terbabas merempuh penghadang jalan, menyebabkan tiga mangsa tercampak keluar dan terjatuh ke bawah jambatan dan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Menurut Zakaria, kesemua 11 penumpang yang cedera, termasuk tujuh yang parah dihantar ke Hospital Taiping untuk rawatan.
Zakaria berkata, kesemua mangsa yang meninggal dunia pula dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat.
Polis turut menahan empat warga asing yang cedera ringan untuk siasatan.
Menurutnya, polis sedang mempergiatkan usaha mengesan pemandu dan memohon kerjasama masyarakat setempat.
Di samping itu, ujarnya, polis juga sedang berusaha mengesan pemilik kenderaan SUV itu yang beralamat di Kampar, Perak.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#14 warga Myanmar
#Akta Pengangkutan Jalan
#Hospital Parit Buntar
#kenderaan SUV
#Plaza Tol Bukit Merah
#Van terbabas di Lebuhraya PLUS