Mangsa maut tragedi Bukit Kukus akan diberi pampasan dengan syarat - Mahfuz Omar
Adie Sufian Zulkefli
Oktober 28, 2018 17:20 MYT
Oktober 28, 2018 17:20 MYT
Mangsa yang maut dalam kejadian tanah runtuh di tapak projek Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus di Pulau Pinang bakal menerima pampasan namun bersyarat.
Jelas Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar, pampasan terbabit akan diberikan kepada waris mangsa yang layak dalam tempoh terdekat.
Katanya, pampasan itu akan diberikan oleh majikan sepertimana yang termaktub dalam akta buruh sedia ada yang mewajibkan setiap pekerja layak menerima pampasan sekiranya berlaku kecelakaan ketika masih bekerja.
Pekerja warga asing yang sah dilindungi mengikut Akta Pampasan Pekerja 1952 sementara pekerja tempatan dilindungi mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.
Mangsa juga haruslah pekerja yang sah iaitu iaitu mempunyai dokumen perjalanan sah serta permit kerja yang sah.
"Dia (mangsa harus) pekerja sah. Mangsa bukan PATI (pendatang asing tanpa izin). Pekerja yang sah berdaftar kemudian dia di bawah akta, pampasan ini dia akan dapat," katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Sektor Pertanian, Perikanan dan Perhutanan di sini hari ini.
Difahamkan terdapat beberapa pekerja dalam kalangan mangsa adalah pendatang asing tanpa izin (PATI) di mana mangsa tidak akan mendapat pampasan dan kemungkinan hanya sumbangan daripada syarikat mereka sendiri.
Dalam kejadian minggu lalu seramai sembilan pekerja binaan maut dan empat cedera selepas terbabit dalam kejadian tanah runtuh di tapak projek Lebuhraya Bukit Kukus di Pulau Pinang.
Mangsa yang terbunuh masing-masing empat warga Indonesia, Attrul, 35, Samsul, 19, Bahtiar, 36 dan Subaeri, 34, serta empat rakyat Bangladesh, Mithu Hossain, 30, Mostak Hossain, 25, Md Abdul Jalil, 34 dan Mohamad Uzzal, 33.
Seorang lagi mangsa yang maut ialah wanita warga Myanmar, Khin Aye Khaing, 33, manakala empat cedera, iaitu seorang warga Bangladesh, Shamin, 24 dan tiga warga Indonesia, Wakrini, 36, Norazizah, 24 dan Laduma, 46.
#Bangladesh
#bukit kukus
#Indonesia
#Mahfuz Omar
#maut
#Myanmar
#pati
#siasatan
#tanah runtuh
#Timbalan Menteri Sumber Manusia