Mangsa maut dalam kebakaran sempat alihkan barang, kenderaan
Sinar Harian
Mac 17, 2024 15:51 MYT
Mac 17, 2024 15:51 MYT
RAUB: Dua beradik sempat mengalihkan barang dan kenderaan ke tempat selamat sebelum salah seorang daripada mereka maut dalam kebakaran rumah di Felda Tersang Satu di sini, awal pagi Ahad.
Mangsa berusia 46 tahun ditemui dalam keadaan terbaring di belakang rumah dan disahkan meninggal dunia manakala adiknya, 36, pula melecur.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintenden Mohd Shahril Abd Rahman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira jam 1.45 pagi.
Menurutnya, bertindak atas maklumat, pihak polis bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Raub bergegas ke lokasi kejadian dan tiba jam 2 pagi.
"Api berjaya dipadam sepenuhnya sejam kemudian. Kejadian ini mengakibatkan bahagian hadapan rumah pertama terbakar sepenuhnya manakala rumah kedua hanya pada bahagian bumbung hadapan.
"Kedua-dua unit rumah tersebut adalah rumah pusaka dan tidak berpenghuni, namun ketika kejadian mangsa dikatakan berada di rumah tersebut kerana sedang bercuti.
"Susulan kebakaran itu, mangsa berusia 36 tahun melecur pada bahagian tangan dan badan manakala seorang lagi berusia 46 tahun meninggal dunia.
"Kedua-dua mangsa adalah adik-beradik dan mereka bekerja sebagai pemandu lori," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Mohd Shahril berkata, mangsa melecur memberitahu melihat cahaya terang di ruang bilik hadapan rumah ketika dia sedang berehat di dapur rumah.
Menurutnya, mangsa kemudian memeriksa dan mendapati api sedang marak di dalam rumah lalu bertindak menyelamatkan diri.
"Mangsa seterusnya telah pergi ke rumah abangnya memaklumkan mengenai kebakaran itu.
"Mereka bersama-sama bertindak menyelamatkan beberapa barangan rumah dan mengalihkan kenderaan masing-masing yang turut dibantu oleh beberapa orang kampung," ujarnya yang dimaklumkan oleh ahli keluarga bahawa mangsa yang maut mempunyai masalah darah tinggi.
Beliau berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Forensik Hospital Raub untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
Menurutnya, sementara adik mangsa yang melecur turut di hantar ke Hospital Raub untuk rawatan selanjutnya.
"Jumlah kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan pihak Bomba dan Penyelamat Raub," katanya. -Sinar Harian