Mangsa letih, tiga kali pindah akibat banjir

Adie Sufian Zulkefli
November 15, 2023 10:30 MYT
Anggota APM membantu mangsa berpindah selepas rumahnya dinaiki air banjir. - Astro AWANI
ALOR SETAR: Seorang peniaga mengadu bahawa dia letih apabila rumahnya di Kampung Alor Senjaya di Alor Setar dinaiki air sehingga terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) sebanyak tiga kali pada tahun ini.
Megat Mohd Yazis, 41, berkata sebelum ini, dia telah berpindah ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Gajah pada September dan Oktober lalu.
Katanya, susulan banjir yang kembali berlaku, dia telah berpindah buat kali ketiga ke PPS yang sama setelah rumahnya dinaiki air sehingga ke paras pinggang malam tadi.
Menurut Megat, hujan lebat pada lewat petang lebih dua jam mengakibatkan air Sungai Anak Bukit naik dengan pantas pada waktu malam menyebabkan dia tiada pilihan lain selain menyelamatkan isteri dan anaknya.
Dia sudah berdepan pengalaman banjir lebih 30 kali sepanjang hidupnya mengakui penat apabila terpaksa berpindah selepas air sungai kerap melimpahi ke kawasan rumahnya sejak kebelakangan ini.
"Setiap kali kalau air naik memang sudah bersedia.
"Kita sudah 'target' bulan satu ini pula barang-barang jenis elektrik bawa turun letak bawah," katanya.
Perkara sama diakui Satari Reso, 53, dari Kampung Bohor, berkata air masuk ke dalam rumah sangat cepat sehingga menyebabkan dia tiada pilihan kecuali berpindah ke PPS.
Satari yang baru menjalani pembedahan di kaki kiri bersyukur kerana diselamatkan anggota APM selepas tidak dapat meredah banjir.
Dia yang tinggal bersama isteri serta anak perempuan dan dua cucu bimbang air sungai akan terus melimpah dan paras air banjir semakin meningkat.
"Air naik terlalu laju, barang-barang saya tidak sempat diselamatkan," katanya.
Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kota Setar, Kapten (PA) Abdul Haliq Rafiq Mokhtar berkata, sebuah PPS di SK Titi Gajah mula dibuka jam 5.30 petang semalam dengan menempatkan seramai 76 mangsa dari 27 keluarga.
Katanya, paras air Sungai Anak Bukit yang melimpah akibat hujan lebat menyebabkan enam kampung di empat mukim dinaiki air dengan cepat.
Antara kampung yang terjejas adalah Kampung Alor Gunung, Kampung Pulau Kerengga, Kampung Seberang Chegar, Kampung Titi Gajah, Kampung Alor Senjaya dan Kampung Bohor.
Beliau berkata, paras bacaan air Sungai Anak Bukit melebihi paras bahaya iaitu 3.03 meter berbanding paras normal 1.5 meter.
Abdul Haliq menasihatkan penduduk supaya sentiasa peka dengan keadaan cuaca dan segera berpindah dan jangan tunggu sehingga gelap kerana proses pemindahan lebih mencabar.
"Sangat-sangat berisiko tinggi. kita di pihak jabatan penyelamat APM. siapa sekalipun, kalau kata waktu malam. kita untuk meredah kawasan yang sudah air itu agak berbahaya," katanya.
#banjir #PPS #mangsa #APM
;