Mangsa lemas ketiga di Pantai Telong ditemui
Vivi Sumanti
Mac 21, 2018 09:22 MYT
Mac 21, 2018 09:22 MYT
Pencarian mangsa ketiga yang hilang dalam insiden lemas di Pantai Telong berakhir dengan penemuan jasad dalam keadaan terdampar 200 meter dari kawasan dia dilaporkan hilang, di sini awal pagi tadi.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Muhammad Khairu Yusof, mayat Wan Ukkasyah Wan Halem, 12 tahun, ditemui pasukan Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Bomba yang melakukan rondaan di tepi pantai sekitar jam 6.30 pagi.
Semalam, bapa mangsa, Wan Halem Wan Mustapa, 44 tahun dan anaknya Wan Muhammad Muzzammil, 7, tahun ditemui lemas oleh orang awam di pantai berkenaan sekitar jam 3.15 petang semalam.
Mereka merupakan antara lapan ahli keluarga yang bercuti di pantai berkenaan sempena cuti persekolahan.
Dalam kejadian berkenaan, salah seorang dari ahli keluarga mangsa dikatakan lemas sebelum bapa dan anak-anaknya cuba membantu.
Difahamkan, bapa mangsa dilihat terjun ke dalam laut untuk menyelamatkan anak, namun gagal apabila dia sendiri lemas dibawa arus.
Mayat Wan Ukkasyah di bawa ke Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab 11 Kota Bharu untuk proses bedah siasat.
Manakala jenazah Allahyarham Wan Halem dan Wan Muhammad Muzzammil selamat dikebumikan di kampung halaman mereka semalam.