Mangsa lemas kedua di Pantai Teluk Batik ditemui
Abd Razak Mohd Ali
Jun 29, 2020 15:54 MYT
Jun 29, 2020 15:54 MYT
Mangsa kedua yang lemas ketika mandi di Pantai Teluk Batik, dekat sini petang semalam, ditemui anggota mencari dan menyelamat, petang ini.
Mayat R Vigneis, 22, ditemui kira-kira jam 2.20 petang oleh anggota bomba dari Pasukan Penyelamatan di Air (PPDA) dalam keadaan terapung di celahan batu.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Perak berkata, mayat lelaki itu ditemui kira-kira 50 meter dari pantai.
“Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan di sini.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang semalam, Vigneis dipercayai dihanyut ombak ketika berenang di Pantai Teluk Batik bersama rakan-rakannya.
Seorang rakannya, S Emmanuel Raj, 21, ditemui terapung kira-kira jam 6.55 petang tetapi disahkan meninggal dunia pada jam 7.20 petang.
Kedua-dua mangsa dikatakan pergi ke pantai berkenaan bersama-sama enam rakan mereka yang lain.
Operasi mencari dan menyelamat yang diserta 26 anggota dari JBPM, Polis DiRaja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Rela dan bomba sukarela ditamatkan jam 2.48 petang.
#bomba
#Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
#JBPM
#lelaki
#lemas
#Malaysia
#mangsa
#mayat
#meninggal dunia
#polis
#Polis Diraja Malaysia