KLUANG: Mangsa kejadian tembak oleh individu tidak dikenali di Kampung Bukit Batu Machap, Simpang Renggam di sini semalam, nekad mengejar suspek yang menaiki kereta Perodua Bezza demi mendapatkan nombor pendaftaran untuk diberikan kepada pihak polis.

Berkongsi mengenai kejadian tersebut, mangsa yang hanya dikenali sebagai Dian, 36, berkata ketika itu dia serta suami baru pulang dari sekolah anaknya sebelum didatangi tiga lelaki tidak dikenali yang kemudian mengacukan pistol ke arah mereka pada jarak hanya kira-kira 10 meter.

"Kami terkejut apabila suspek terus melepaskan empat das tembakan namun tersasar dan mengenai bingkai pintu, dinding rumah serta tembus di meja makan di hadapan rumah.

"Saya sempat mengambil penyapu manakala suami mengambil parang sambil menjerit meminta tolong sebelum menaiki kereta untuk mengejar suspek bertujuan mengambil nombor plat kenderaan walaupun suspek melepaskan dua das lagi tembakan," katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya hari ini.

Jelas Dian apabila difikirkan semula, tindakan mengejar suspek tersebut adalah bahaya dan hingga kini dia sekeluarga masih trauma serta dalam keadaan ketakutan.

Dia juga menyerahkan kepada siasatan pihak polis untuk tindakan selanjutnya meskipun masih tertanya-tanya mengenai motif kejadian itu.

"Kami diberitahu polis hanya seorang suspek yang telah ditahan...saya amat risaukan keselamatan keluarga terutama ibu dan anak saya hinggakan jika ada orang memberi salam kami sekeluarga akan mencapai apa sahaja barang untuk mempertahankan diri kerana risau saki-baki geng mereka datang ke rumah," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang ACP Bahrin Mohd Noh berkata pihaknya menerima laporan kejadian melepaskan tembakan itu pada 12.17 tengah hari daripada mangsa yang juga seorang suri rumah.

"Seorang daripada suspek yang dikenali sebagai Man Tigar telah ditahan di Pusat Perdagangan Simpang Renggam pada 7 malam semalam dan permohonan reman dilakukan hari ini di Mahkamah Majistret Batu Pahat," katanya

Dalam pada itu, Majistret Mustaqim Sukarno membenarkan suspek direman tujuh hari hingga Isnin depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjata Api 1971 (Penalti Lebih Berat).

-- BERNAMA