Mangsa kemalangan jalan raya meninggal dunia ketika rawatan
Norfarhiza Mohd Atar
Ogos 14, 2022 07:51 MYT
Ogos 14, 2022 07:51 MYT
LIPIS: Seorang penunggang motosikal meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Lipis setelah terlibat dalam kejadian kemalangan di Kilometer 22 Jalan Lipis-Sungai Koyan, di sini, pada Ahad.
Mangsa, Hasruleffandy Hasim, 43 tahun, yang beralamat di Felda Jengka 16, disahkan meninggal dunia pada jam 2 petang selepas lebih dua jam menerima rawatan di Unit Kecemasan hospital tersebut.
Ketua Polis Lipis Supt Azli Mohd Noor berkata, hasil siasatan polis mendapati, kejadian kira-kira jam 11.45 pagi itu membabitkan sebuah motosikal jenis Yahama 125 dan sebuah kereta jenis Proton Iswara.
"Kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal yang ditunggangi mangsa, dari arah Lipis menghala ke Sungai Koyan, sampai di lokasi kejadian, hilang kawalan ketika melalui selekoh.
"Dan ia masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan kereta yang dinaiki sepasang suami isteri," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Beliau berkata, akibat kemalangan tersebut, penunggang motosikal yang mengalami kecederaan parah di kepala dirujuk ke Hospital Lipis untuk rawatan lanjut.
Sementara itu, pemandu kereta bersama isterinya tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Namun, kira-kira jam 2 petang, polis menerima makluman daripada pihak Hospital Lipis menyatakan mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di Unit Kecemasan semasa menerima rawatan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan saksi kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan," katanya.
Jelasnya, siasatan di tempat kejadian mendapati keadaan jalan berselekoh, sistem jalan satu lorong dua hala terdapat garisan putih berkembar di tengah sebagai pembahagian jalan dan cuaca baik.