Mangsa keganasan rumah tangga digalak tinggal di rumah perlindungan
Bernama
Julai 23, 2018 04:54 MYT
Julai 23, 2018 04:54 MYT
Mangsa kes keganasan rumah tangga digalakkan untuk tinggal sementara di rumah perlindungan yang disediakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) agar keselamatan mereka lebih terjamin.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sahsiah, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat negeri Wong May Ing berkata JKM Perak menyediakan tiga rumah perlindungan untuk mangsa iaitu di Ulu Kinta, Kuala Kangsar dan Taiping.
"Kebanyakan mangsa lebih selesa tinggal sementara di rumah adik-beradik atau saudara-mara. Mereka tidak selesa tinggal di rumah perlindungan kerana ada premis yang diurus oleh lelaki.
"Apabila tinggal di rumah adik-beradik atau saudara-mara mereka kurang selamat kerana suami mereka tahu lokasi berkenaan," katanya kepada pemberita selepas program Destress Clinic bertemakan Jauhi Tekanan Menjana Keluarga Bahagia di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, pada Isnin.
Program itu menampilkan PU Azman Shah Alias yang merupakan juara program realiti televisyen Pencetus Ummah (PU) musim ke-2 untuk mengupas topik tersebut.
Wong berkata kerajaan negeri akan berusaha untuk memperbaiki segala kelemahan pengurusan rumah perlindungan termasuk memberi pendedahan kepada orang ramai tentang kewujudan premis tersebut.
"Ada juga mangsa yang tidak tahu adanya rumah perlindungan ini dan lokasinya (rumah perlindungan) jauh dengan rumah mereka. Jadi kami akan cari jalan penyelesaiannya," katanya.
Beliau berkata statistik kes keganasan rumah tangga di Perak pada 2015 menunjukkan penurunan iaitu 263 kes berbanding 331 pada 2014.
"Walaupun kes ini menunjukkan penurunan, namun usaha ke arah peningkatan kesedaran ini perlu diperhebatkan bagi melahirkan lebih banyak keluarga bahagia di negeri ini," katanya.
-- BERNAMA