Mangsa kedua insiden lemas di Pantai Teluk Kalong ditemui

Sharom Abu Bakar
Ogos 24, 2018 07:28 MYT
Operasi mencari dan menyelamat yang masuk hari ketiga membabitkan lebih lima puluh anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam dan polis. - Gambar fail
Mangsa kedua insiden tiga pelajar IPT yang lemas di Pantai Teluk Kalong Kemaman pada Khamis ditemui pagi ini.
Mayat Ahmad Daniel Firdaus Zubir, 19, ditemukan jam 5:20 pagi tadi .
Mangsa ditemui terdampar di pesisir pantai pada jarak kira kira 100 meter dari lokasi mangsa pertama ditemui pada Jumaat.
BACA: Remaja ditemukan lemas di Pantai Telok Kalong, dua masih hilang
Pengecaman mayat dibuat oleh keluarga mangsa.
Jenazah kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Dalam kejadian jam 6.30 petang Khamis itu, Ahmad Daniel Firdaus Zubir, penuntut MSU, bersama dua lagi rakannya, penuntut IPTS, Khairil Ikmal Danial Zamzuradi dan Shahir Aqil Shahrun, yang kesemuanya berusia 19 tahun lemas dihanyutkan arus deras ketika mandi bersama empat rakan lain.
Mangsa pertama, Shahir Aqil Shahrun ditemui terdampar kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian pada jam 4.30 pagi Jumaat.
Operasi mencari dan menyelamat yang masuk hari ketiga membabitkan lebih lima puluh anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam, polis dan penduduk kampung.
#bomba #hilang #Kemaman #lemas #mayat #operasi #Pantai Telok Kalong #pelajar #remaja
;