Mangsa kedua hilang di Pantai Batu Layar ditemukan lemas
Bernama
Julai 22, 2024 13:00 MYT
Julai 22, 2024 13:00 MYT
KOTA TINGGI: Seorang lagi lelaki yang dilaporkan hilang ketika mandi di Pantai Batu Layar di sini semalam, ditemukan lemas pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Hussin Zamora berkata mayat Haqim Abdul Rahim Lee, 20, ditemukan pada 7.55 pagi tadi di kedudukan kira-kira 1,800 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang.
"Mayat mangsa telah dikenal pasti oleh warisnya sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk tindakan selanjutnya.
"Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menemukan mayat mangsa di laut pada jarak kira-kira 100 meter dari pesisiran pantai," katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan penemuan mayat kedua itu, beliau berkata operasi SAR serta pos kawalan yang dibuka semalam secara rasminya telah ditutup dan kes berkenaan diklasifikasi sebagai mati mengejut.
Semalam, Hussin dilapor berkata mayat Muhammad Syahmie Zamzam, 26, ditemukan pada 3.15 petang di kedudukan kira-kira 1,500 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang.
Hussin berkata siasatan awal di tempat kejadian mendapati dua lelaki berasal dari Johor Bahru itu telah hilang semasa mandi-manda di pantai tersebut sekitar 9.15 pagi, hari yang sama.
-- BERNAMA
#mangsa lemas ditemukan
#Pantai Batu Layar
#Kota Tinggi
#Haqim Abdul Rahim Lee
#operasi mencari dan menyelamat