Mangsa kebakaran terima sumbangan rumah dari Pharmaniaga, UAC
Wana Abd Rahman
Mei 16, 2022 10:30 MYT
Mei 16, 2022 10:30 MYT
TUMPAT: Dua syarikat kumpulan Boustead, Pharmaniaga Berhad dan UAC Berhad pada Sabtu, menyerahkan sumbangan rumah baharu kepada seorang mangsa kebakaran yang kehilangan tempat tinggal Oktober tahun lalu.
Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga, Datuk Zulkarnain Md Eusope berkata, pihaknya bersimpati terhadap nasib yang menimpa mangsa sekali gus menyempurnakan usaha dan tanggungjawab sosial syarikat dengan menggunakan peruntukan zakat perniagaan bagi pembinaan rumah tersebut.
"Ini merupakan rumah pertama yang kami sumbangkan. Biarpun dalam tempoh pembinaan terdapat banyak halangan dan rintangan yang dihadapi seperti penangguhan pembinaan disebabkan faktor cuaca pada penghujung Disember lalu sehingga awal Januari, namun Alhamdulillah ia dapat disiapkan sepenuhnya pada 15 Februari lalu.
"Ia membolehkan mangsa (Che Aziz) dapat menjalani ibadah puasa dan meraikan hari raya Aidilfitri di rumah baharu ini," katanya ketika berucap di Majlis Serahan Rasmi Kunci Rumah di Kampung Kubang Palas, di sini, pada Ahad.
Zulkarnain berkata, projek pembinaan rumah yang menelan belanja RM80,000 itu dapat disiapkan dalam tempoh singkat, dengan kos yang lebih menguntungkan berbanding pembinaan bahan binaan konvensional.
"Dengan menggunakan teknologi moden dan bahan yang disediakan syarikat UAC, proses pembinaan dapat disiapkan dalam tempoh dua bulan sahaja,"katanya.
Untuk rekod, kejadian yang berlaku pada 14 Oktober tahun lalu turut mencederakan mangsa kebakaran, Che Aziz Che Teh, 65, sekali gus memusnahkan keseluruhan harta benda yang dimilikinya.
Kejadian disebabkan litar pintas itu, menyebabkan sebahagian belakang badan Che Aziz melecur teruk dan terpaksa berulang alik ke hospital sepanjang tempoh dua bulan.
Che Aziz yang ditemui berkata, sepanjang dalam tempoh pembinaan rumah, dia terpaksa menyewa di sebuah rumah kawasan ini.
"Membayar sewa RM350 sebulan agak berat bagi kami sekeluarga kerana pendapatan saya hanya daripada hasil penjualan gas sahaja. Tambahan pula saya terpaksa berulang alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Namun, kami bertiga, (isteri dan anak lelaki bongsu) tidak perlu menunggu lama kerana rumah ini disiapkan dalam masa yang singkat.
"Kami sangat bersyukur dan berterima kasih atas bantuan sumbangan yang diberikan oleh Pharmaniaga dan UAC ini. Adanya sumbangan ini kami tidak perlu lagi menyimpan wang untuk pembinaan rumah yang menelan belanja puluhan ribu," katanya.
Ditanya bagaimana dia menerima sumbangan dari dua syarikat besar itu, Che Aziz mengakui mengenali seorang kakitangan Pharmaniaga.
"Bantuan itu diterima selepas berjumpa dengan seorang kakitangan Pharmaniaga yang juga seorang daripada pelanggan gas saya, lalu terus memohon sumbangan itu menerusinya," katanya.