Mangsa kebakaran masuk balik ambil kunci kereta sebelum ditemui rentung - Bapa saudara
Adie Sufian Zulkefli
September 15, 2020 14:23 MYT
September 15, 2020 14:23 MYT
"Saya terkejut apabila dimaklumkan anak saudara saya masuk semula ke dalam rumah ketika api sedang marak.”
Demikian nada pilu Abd Rahman Bakar, 75, bapa saudara Roslan Abu Bakar, 56, mangsa yang ditemui rentung di hadapan pintu dalam kebakaran di rumahnya di Taman Malik, dekat Alor Setar kira-jam 5.30 pagi tadi.
Jelas Abd Rahman, dia dimaklumkan arwah masuk semula ke dalam rumah yang sedanng terbakar untuk mengambil kunci kereta dan cuba memadam api namun mangsa tidak sempat keluar lalu terperangkap di pintu hadapan rumah berkenaan.
Abd Rahman berkata, dia sebelum itu rasa tidak sedap hati apabila terdengar bunyi siren bomba di hadapan rumahnya yang menyangka berkemungkinan ada kejadian besar ketika penduduk di kawasan Kota Setar masih dalam perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara Pentadbiran sejak Jumaat lalu disebabkan penularan COVID-19.
Abd Rahman berkata, kali terakhir dia bertemu dengan arwah dua hari lalu ketika mangsa datang ke rumahnya di Tambak Bunga, Jalan Kuala Kedah untuk meminjam penebuk lubang untuk memasang cermin bilik air rumahnya di sini.
Dia juga terkilan kerana hajat arwah untuk menunaikan umrah tidak kesampaian.
"Sewaktu berjumpa, dia (mangsa) kata dia hendak pergi umrah, tetapi tidak boleh pergi, sudah tidak larat," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Mangsa merupakan kakitangan Syarikat Air Darulaman (SADA).
Jasad mangsa ditemui dalam keadaan bersujud dipercayai cuba untuk melepaskan diri namun gagal.
Bagaimanapun, isteri dan dua anak mangsa berjaya menyelamatkan diri keluar dari rumah berkenaan.
Isteri mangsa, Muzaini Mustafa, 52, yang berkerusi roda tidak dapat bergerak akibat masalah buah pinggang gagal berfungsi.
Dua anak mereka, Mohamad Ridwan Roslan, 17, dan Siti Aisyah, 15, berjaya menyelamatkan diri sewaktu terdengar jeritan arwah mengarahkan mereka keluar dari rumah sewaktu api marak.
Sementara itu, adik mangsa, Rosliza Abu Bakar, 36, berkata kali terakhir dia bertemu arwah abangnya Jumaat lalu sewaktu mangsa datang untuk menziarah ibu mereka di Kuala Kedah.
Katanya, ibu mereka, Fatimah Bakar, 76, sepatutnya menjalani pembedahan membuang selaput mata di sebuah pusat perubatan swasta di Alor Setar tetapi terpaksa ditunda kerana PKPD.
Rosliza berkata, sejak arwah bapa mereka meninggal, Roslan bertanggungjawab menjaga keluarga terutama ibu mereka yang sudah uzur.
Katanya, jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Jalan Alor Ibus, Kuala-Kedah-Yan selepas selesai urusan di bilik mayat Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).
#API
#COVID-19
#jenazah
#kebakaran
#kebakaran Alor Setar
#koronavirus
#mangsa
#mayat
#perintah kawalan pergerakan
#PKPD
#rentung
#Roslan Abu Bakar