Mangsa hilang dalam tragedi bot karam ditemukan terapung
Bernama
Januari 3, 2021 05:06 MYT
Januari 3, 2021 05:06 MYT
PASIR PUTEH: Mayat seorang lelaki yang dipercayai antara mangsa yang hilang dalam tragedi bot karam berhampiran perairan Pulau Perhentian, Terengganu 31 Dis lepas ditemukan petang semalam.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan Kapten Maritim Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata Asaari Leh, 46, ditemukan orang awam dalam keadaan terapung di lokasi 8.3 batu nautika di barat daya Pulau Perhentian pada 5.30 petang.
"Mayat mangsa dibawa oleh kapal Maritim untuk didaratkan di Jeti APMM malam ini," katanya kepada pemberita di sini semalam.
Dalam insiden itu, empat lelaki yang kesemuanya nelayan terselamat apabila berjaya tiba di Pulau Perhentian selepas terpaksa berenang selama 14 jam.
Mangsa pula dipercayai berenang bersendirian setelah terpisah dengan rakan-rakannya selepas bertindak terjun dari bot yang hampir tenggelam dalam keadaan ribut, hujan lebat dan ombak besar.
Muhd Nur Syam berkata mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan bagi tujuan bedah siasat di Hospital Besut sebelum diserahkan kepada keluarga untuk dikebumikan di kampung asalnya di Gong Keding, Pasir Puteh.
Beliau berkata 83 anggota pelbagai agensi melancarkan gerakan mengesan mangsa menggunakan aset laut dan udara sepanjang kehilangannya.
-- BERNAMA
#mayat
#mangsa
#bot karam
#bot
#nelayan
#lelaki
#hilang
#karam
#keluarga
#polis
#APMM
#GERAKAN
#Pasir Puteh
#Pulau Perhentian
#Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob
#terapung
#Hospital Besut
#maritim
#Jeti APMM