Mangsa gelombang kedua banjir di Sarawak meningkat kepada 186 orang
Bernama
Februari 1, 2021 11:09 MYT
Februari 1, 2021 11:09 MYT
KUCHING: Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan di Sarawak meningkat kepada 186 orang pagi ini, berbanding 171 orang malam tadi.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam kenyataan hari ini memaklumkan empat pusat pemindahan kini dibuka di dua daerah yang dilanda banjir sejak dua hari lepas.
Daerah Serian mencatat jumlah mangsa banjir tertinggi seramai 159 orang yang ditempatkan di tiga pusat pemindahan iaitu Dewan Kampung Lintang Baru, Dewan Kampung Betong Kenawit dan Kampung Rimba Padi, sementara di daerah Simunjan, 27 mangsa ditempatkan di Dewan Masyarakat Lubok Buntin.
Gelombang kedua banjir di Sarawak bermula Sabtu lepas apabila kawasan perkampungan di Teluk Buntin di daerah Simunjan dinaiki air ekoran keadaan hujan lebat yang berterusan selama beberapa hari serta fenomena air pasang besar yang berlaku serentak.
Laporan ramalan cuaca mingguan yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi menyatakan hujan dijangka berterusan sepanjang minggu ini.
-- BERNAMA
#mangsa banjir
#mangsa
#banjir
#mati lemas
#pusat pemindahan
#Sarawak
#Serian
#Simunjan
#ramalan cuaca