Mangsa culik Lahad Datu dipaksa hubungi majikan minta wang tebusan

Astro Awani
Julai 12, 2016 11:47 MYT
Tiga rakyat Indonesia mangsa culik di perairan Lahad Datu disahkan ada menghubungi majikan dan memaklumkan tentang wang tebusan yang diminta kumpulan itu.
Pejabat Konsulat Republik Indonesia di sini hari ini mengesahkan tiga rakyatnya yang menjadi mangsa culik oleh sekumpulan lelaki bersenjata di perairan Lahad Datu pada Sabtu ada menghubungi majikan mereka dan memaklumkan kumpulan berkenaan meminta wang tebusan.
Konsul Indonesia di Sabah, Abdul Fatah Zainal turut mengesahkan penculikan itu didalangi kumpulan Abu Sayyaf.
Menurut Abdul Fatah, kumpulan penculik itu telah menghubungi majikan tiga warganya bagi memaklumkan mengenai tuntutan mereka.
Bagaimanapun, katanya, jumlah wang tebusan yang diminta tidak sempat dinyatakan selepas terputus komunikasi.
Nasib ketiga-tiga kru bot tunda warga Indonesia yang diculik juga masih tidak diketahui.
Pihak berkuasa Indonesia kini bersiap sedia berdepan sebarang kemungkinan dan akan berkerjasama dengan kerajaan Malaysia dalam menyelesaikan penculikan berkenaan.
Pihak kedutaan pada masa sama menasihati kepada mana-mana agar tidak bertindak melulu, sebaliknya menyerahkan kes tersebut kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.
Mereka yang diculik ialah Lorens Koren, 34; Teo Dores Kopong, 40; dan Emanuel, 46.
Dalam kejadian 11.40 malam Sabtu lalu, lima lelaki bersenjata menculik yang menaiki bot laju di perairan Lahad Datu berhampiran persisiran Pantai Kampung Sinakut memintas bot tunda mangsa sebelum melarikan mereka.
#lelaki bersenjata #mangsa culik #pejabat konsulat #perairan Lahad Datu #Republik Indonesia