Mangsa culik di perairan Pulau Gaya dibebaskan - Polis Sabah

Bernama
Oktober 1, 2016 15:44 MYT
Datuk Abdul Rashid Harun (gambar) berkata mangsa sekarang berada di Lahad Datu bersama pihak polis.
Pemilik pukat tunda yang diculik di perairan Pulau Gaya, Semporna pada 27 Sept lepas telah dibebaskan, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Abdul Rashid Harun.
Beliau berkata mangsa culik itu Ruslan Sarapin, 39, selamat sampai di Lahad Datu pada pukul 7 pagi tadi dan polis sedang mengambil keterangan daripadanya.
"Seorang mangsa culik telah dibebaskan dan saya difahamkan (mangsa itu) Ruslan Sarapin. Saya difahamkan pukul 7 pagi tadi satu mangsa telah dibebaskan dan sekarang berada di Lahad Datu bersama pihak polis.
"Kami bersama pihak polis Lahad Datu sedang menyemak (mengambil keterangan) cerita sebenar kejadian itu," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 9.30 malam, Ruslan, 39, diculik enam lelaki bersenjata api ketika menangkap ikan bersama-sama 26 lagi anak kapalnya di perairan berkenaan.
Pemilik kapal pukat tunda warga tempatan itu diculik manakala anak kapalnya dirompak. -- BERNAMA
#Abdul Rashid Harun #culik #Perairan Pulau Gaya #Ruslan Sarapin #Semporna
;