Mangsa bot karam terkilan gagal selamatkan bapa saudara

Sinar Harian
Julai 2, 2022 10:00 MYT
Operasi mencari dan menyelamat di Tasik Gubir memasuki hari kedua SAR. Gambar kecil: Othman. - Foto Sinar Harian
SIK: Mangsa terselamat dalam kejadian bot karam di Tasik Gubir terkilan tidak dapat menyelamatkan bapa saudara yang dikhuatiri lemas dalam kejadian kira-kira 5.50 petang Rabu.
Muhammad Khairul Badri Mahyuddin, 28, berkata, kejadian berlaku sangat pantas dan tidak menyedari bahawa bapa saudara, Othman Abdul Ghani, 49, hilang dari pandangan.
Menurutnya, kejadian berlaku apabila bot yang dinaiki mereka terlanggar bongkah kayu menyebabkan ia bocor dan tenggelam.
"Kami nak pergi memancing tetapi apabila sampai ke lokasi kejadian, terlanggar bongkah kayu dan bocor," katanya.
Dalam keadaan kelam-kabut, mereka cuba berenang ke tepi menyelamatkan diri namun Othman dikatakan tidak pandai berenang.
"Apabila beralih ke belakang, saya dapati tiada kelibat bapa saudara dan saya terus berenang ke tebing dengan jarak lebih kurang 100 meter.
"Saya tidak tahu bagaimana untuk menyelamatkannya dan takut untuk mencari seorang diri kerana air tasik yang dalam.
"Dalam masa sama, saya cuba mendapatkan pertolongan nelayan yang melintasi kawasan kejadian, tetapi gagal kerana mereka tidak nampak saya dalam keadaan cuaca gelap.
"Saya hanya guna cahaya pemetik api, sepanjang malam saya berjalan ke tebing tasik yang dipenuhi hutan dan duri untuk mencari perlindungan bagi mendapatkan bantuan tetapi gagal," katanya.
Menurutnya, tiada liputan komunikasi di kawasan tasik menyebabkannya gagal memohon bantuan.
Pada jam 7.30 pagi, Muhammad Khairul ternampak nelayan yang melalui kawasan terbabit dan meminta bantuan dengan menjerit dan melambai.
Dengan bantuan nelayan, dia dibawa ke Balai Polis Daerah Sik untuk membuat laporan manakala rakan-rakan nelayan lain cuba mencari bapa saudaranya di tempat kejadian. -Sinar Harian
#bot karam #Tasik Gubir #Muhammad Khairul Badri Mahyuddin #Othman Abdul Ghani
;