Mangsa bencana Palu, Donggala terdesak untuk dibantu - MERCY

Mohd Dzulfitri Md Yusuf
Oktober 2, 2018 12:30 MYT
Penduduk tempatan yang terkesan dengan gempa dan tsunami menunggu untuk dipindahkan oleh kapal terbang tentera di Lapangan Terbang Mutiara Sis Al Jufri di Palu pada 30 Sept. - Antara Foto/REUTERS
Situasi bencana di Palu dan Donggala, Sulawesi Tengah jauh lebih buruk daripada apa yang disaksikan di kaca televisyen.
Menurut Pengurus Besar Bahagian Program Operasi MERCY Malaysia, Mohamad Said Al-Hudzari Ibrahim, masih banyak kawasan bencana yang tidak dapat dimasuki pasukan penyelamat.
Kesukaran untuk masuk ke kawasan pinggir bandar yang terjejas akibat bencana menyebabkan bantuan dari luar tidak dapat disalurkan dengan segera.
Kebanyakan mangsa berada dalam keadaan yang haus dan kelaparan yang menyebabkan mereka cukup terdesak untuk mendapatkan bekalan asas seperti air bersih.
"Pada hari kelima, mereka berhadapan dengan trauma dengan beberapa siri gempa susulan dan sudah mula menghidu bau mayat. Ini sudah cukup untuk menggambarkan betapa terdesaknya mereka untuk mendapatkan bantuan," kata Said ketika ditemu bual dalam program Komen Pagi.
MERCY Malaysia menghantar dua wakil untuk memantau situasi bencana sebelum menghantar pasukan misi kemanusiaan.
"Setakat ini lapangan terbang menjadi tumpuan mangsa gempa untuk ,mendapatkan bantuan walaupun usaha itu terhenti seketika semalam (Isnin) kerana berlaku kekecohan," katanya.
Media Indonesia melaporkan ratusan mangsa gempa membanjiri Lapangan Terbang Sis Al Jufri, Palu untuk menaiki penerbangan khas pesawat Hercules milik Tentera Nasional Indonesia (TNI) untuk meninggalkan Palu.
Kebanyakan mereka bimbang dengan gempa susulan selain tinggal sehelai sepinggang.
MERCY Malaysia turut mengingatkan sukarelawan dan kumpulan misi kemanusiaan untuk melaporkan diri pada pihak berkuasa tempatan di kawasan bencana supaya koordinasi bantuan dapat diselaraskan.
"Bantuan terpenting buat masa ini ialah bantuan dana kerana jika kita berikan bantuan barangan, ianya akan menambahkan kos logistik dan lambat disalurkan. Dengan adanya dana, kita dapat membeli barang di sana. Ini akan menghidupkan ekonomi di kawasan bencana," kata Said.
Beliau turut mengingatkan sukarelawan yang ingin membantu di lokasi bencana untuk memiliki kemahiran yang terlatih dan bersedia daripada segi fizikal dan mental.
#donggala #gempa #mercy malaysia #Palu #Sulawesi Tengah #TNI #tsunami
;