Mangsa bas terbalik di KM31.3 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak meninggal dunia
Bernama
September 4, 2016 21:31 MYT
September 4, 2016 21:31 MYT
Seorang lelaki warga Singapura yang cedera dalam insiden bas terbalik di KM 31.3 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak Rabu lepas, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pagi tadi.
Lim Sia Thian, 61, meninggal dunia pada pukul 7.22 pagi akibat kecederaan parah di kepala.
Polis Daerah Gombak ACP Ali Ahmad berkata mangsa menerima rawatan di Zon Merah HKL sejak dipindahkan dari Hospital Bentong sehari selepas kejadian.
"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh doktor disebabkan kecederaan parah di kepala," katanya kepada Bernama malam ini.
Ali berkata mayat mangsa telah dituntut keluarganya dan dibawa pulang ke Singapura untuk upacara pengebumian.
Pada Rabu lepas, seramai 12 pelancong warga Singapura dan seorang pemandu bas persiaran serta pembantunya cedera selepas bas dua tingkat berkenaan terbabit dalam kemalangan di KM 31.3, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, dekat Bukit Tinggi, kira-kira pukul 4.17 petang.