Mangsa banjir tidak penting diri, tetap bantu pengguna jalan raya terkandas
Bernama
Januari 5, 2021 16:46 MYT
Januari 5, 2021 16:46 MYT
KUANTAN: Penduduk Kampung Jeruas di Sega, Raub, kira-kira 225 kilometer (km) dari sini, mempamerkan semangat 'Malaysia Prihatin' yang tinggi apabila sedaya upaya membantu pengguna jalan raya yang terkandas akibat jalan ditenggelami air walaupun rumah mereka sendiri dilanda banjir.
Seorang mangsa, Zazali Nawi, 46, berkata dia sekeluarga terkandas bersama-sama puluhan pengguna jalan raya yang lain sejak petang Ahad selepas sebahagian laluan dinaiki air selain tidak boleh berpatah balik kerana dimaklumkan banyak jalan telah ditutup kepada lalu lintas.
"Terkandas di tempat asing tanpa sebarang persiapan memang mencemaskan. Tapi penduduk di situ, walaupun sibuk menyelamatkan diri dan harta benda, tetap membantu kami. Mereka bertanyakan jika kami ada bekalan makanan dan sebagainya.
"Kami dibenarkan menumpang di surau dan masjid. Penduduk yang mengusahakan kedai runcit juga memberitahu jika memerlukan apa-apa, datang sahaja termasuk pada lewat malam, walaupun kedai ditutup 6 petang," katanya semasa dihubungi Bernama di sini hari ini.
Zazali yang dalam perjalanan pulang dari Besut, Terengganu ke ibu negara, berkata paling menyentuh hatinya ialah apabila seorang penduduk memberitahu laluan alternatif menggunakan jalan kampung dan ladang kelapa sawit sudah boleh diredah kenderaan pacuan empat roda sekitar 3 petang semalam.
Katanya selepas berbincang dengan isterinya, mereka yang menaiki Toyota Hilux bersetuju untuk mencuba laluan yang dicadangkan bersama beberapa buah kenderaan lain kerana mahu cepat pulang ke rumah selepas hampir seharian terkandas.
"Untuk membantu kami yang memang asing dengan laluan tersebut, penduduk di situ memandu arah kami dan tidak sangka, di setiap simpang ada juga yang menunggu supaya kami tidak sesat. Begitulah keadaannya sehingga kami dapat keluar semula ke jalan besar," katanya.
Zazali yang mengusahakan perniagaan sendiri, berkata penduduk kampung juga menghubungi pihak berkuasa bagi mendapatkan bantuan makanan buat mereka dan dihantar oleh Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dengan menggunakan bot sekitar 11 pagi semalam.
Menurut Timbalan Pengarah Penyelaras Operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) Rusli Ibrahim, makanan itu adalah sumbangan pertubuhan bukan kerajaan dan mereka membantu mengagihkannya kerana sedang dalam operasi menghantar pek makanan asas ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Raub.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) Kampung Jeruas Wan Hashim Wan Mat Zim berkata mereka hanya boleh membantu setakat termampu memandangkan banjir berlaku begitu cepat.
"Saya kasihan melihat mereka yang ada anak kecil dan cuba mencarikan inap desa manakala yang lain diajak tinggal di pusat pemindahan atau masjid. Sumbangan makanan mangsa banjir juga ada yang diberikan (kepada mereka) tetapi tidak cukup untuk semua menyebabkan ada yang hanya boleh mengalas perut dengan roti atau biskut," katanya.
Dalam pada itu, pengusaha inap desa Julia Jamaluddin, 46, berkata telefon bimbitnya tidak putus-putus berdering pada petang Ahad bagi bertanyakan kekosongan inap desa miliknya yang dibina bersebelahan rumah bapa mentuanya di Kampung Jeruas.
Julia yang menetap di bandar Raub, berkata dia dengan berat hati terpaksa menolak kerana telah memberikan rumah itu kepada penyewa pertama yang menghubunginya pada petang Ahad yang juga antara mangsa terkandas.
"Malah, orang itu juga sanggup untuk masuk walaupun diberitahu rumah belum dikemas. Saya pula tidak sanggup mengambil deposit dan mengurangkan bayaran sewa separuh daripada kebiasaan kerana tahu mereka dalam kesusahan dan tidak mempunyai wang tunai yang banyak pada masa itu.
"Urusan sewa adalah atas dasar percaya kerana mereka memaklumkan akan membuat bayaran selepas pulang ke Kuala Lumpur. Saya hanya boleh percaya kepada mereka dan ini juga sebahagian cara saya membantu mereka," katanya.
-- BERNAMA
#banjir pahang
#penduduk tidak penting diri
#bantu
#pengguna jalan raya
#terkandas
#bekalan makanan
#jalan dinaiki air
#Kampung Jeruas
#Raub