Mangsa banjir terus catat penurunan kepada 50,861 mangsa

Sinar Harian
Disember 23, 2022 00:52 MYT
Terengganu merekodkan jumlah tertinggi seramai 25,895 mangsa diikuti Kelantan (24,690), Sarawak (104), Selangor (57), Johor dan Perak (46) serta Pahang (23). - Foto fail/BERNAMA
SHAH ALAM: Jumlah keseluruhan mangsa banjir di tujuh negeri mencatatkan penurunan kepada 50,861 orang melibatkan 14,635 keluarga setakat jam 6 pagi Jumaat berbanding 66,197 orang pada Khamis.
Menurut laporan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Terengganu merekodkan jumlah tertinggi seramai 25,895 mangsa diikuti Kelantan (24,690), Sarawak (104), Selangor (57), Johor dan Perak (46) serta Pahang (23).
Sebelum ini Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan luruan monsun yang sedang berlaku dijangka berlarutan hingga 24 Disember dan berpotensi membawa angin kencang, ombak besar serta hujan berterusan di negeri-negeri Utara, Timur Semenanjung dan Sabah.
Keadaan itu menyebabkan beberapa negeri terutama di Pantai Timur mengalami banjir teruk sejak Sabtu lalu.
Pada Rabu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan segera RM50 juta masing-masing kepada Kelantan dan Terengganu susulan banjir yang berlaku adalah lebih parah daripada biasa.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) pada 19 Disember lalu meluluskan Perolehan Darurat RM500,000 bagi membiayai keperluan segera serta bantuan kepada mangsa terjejas banjir di negeri berkenaan.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, peruntukan tersebut bagi memastikan barangan keperluan tambahan di stor, mini depoh dan pangkalan hadapan di semua daerah terjejas sentiasa tersedia. - Sinar Harian
#banjir #mangsa #PPS #MetMalaysia