Mangsa banjir Sabah meningkat kepada 717 orang

Eleanor Michelle Patrick
Januari 2, 2022 02:50 MYT
Setakat jam 8 malam tadi, terdapat seramai 536 mangsa banjir di Sabah membabitkan 182 ketua isi rumah. - Foto APM
KOTA KINABALU: Jumlah mangsa terkesan banjir di Sabah menunjukkan peningkatan ketara dengan 717 orang pagi ini, berbanding 536 semalam.
Jurucakap Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) berkata, sebanyak lapan daerah di negeri ini dilaporkan terjejas banjir setakat ini.
Sebanyak tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) baharu dibuka di beberapa daerah bagi menempatkan mangsa banjir, membawa kepada jumlah keseluruhan sembilan PPS.
"Setakat jam 8 pagi tadi, mangsa banjir di Sabah adalah seramai 717 orang yang melibatkan sebanyak 212 ketua isi rumah (KIR).
"Daerah yang mencatatkan pembukaan PPS baharu ialah Kota Marudu, Paitan, Beluran, Telupid dan Sandakan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
BACA: Sandakan daerah terbaru terjejas banjir di Sabah
Tambahnya, turut terkesan ialah daerah Kinabatangan, Lahad Datu dan Ranau.
Bagaimanapun, tiada PPS yang dibuka bagi tujuan pemindahan mangsa di daerah tersebut setakat ini.
Terdahulu, setakat 8 malam tadi, 536 mangsa banjir dilaporkan membabitkan 182 KIR di seluruh negeri.
#PPS #mangsa banjir #banjir sabah