Mangsa banjir Rantau Panjang tagih bantuan tangkap ular, bina semula kehidupan

Vivi Sumanti
Mac 16, 2022 16:03 MYT
Dalam kesibukan mengemaskan rumah, mereka tidak terlepas dari ancaman binatang berbisa yang mendiami rumah mangsa banjir. - Foto Astro AWANI
RANTAU PANJANG: Dalam kesibukan mangsa banjir di Rantau Panjang mengemaskan rumah selepas banjir buruk Februari lalu, mereka turut tidak terlepas dari ancaman binatang berbisa yang kini mendiami rumah.
Mengakui perkara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Penolong Penguasa Imran Ismail berkata pihaknya ada menerima aduan kes membabitkan khidmat khas, iaitu menangkap seekor ular tedung yang bersembunyi di sebuah rumah milik mangsa banjir.
"Pihak kami mendapat panggilan khidmat khas menangkap seekor ular tedung sepanjang tiga meter pada 3 Mac lepas.
"Mangsa banjir meminta bantuan pihak Bomba untuk menangkap ular berbisa berkenaan yang ketika itu bersembunyi di ruang dapur sebuah rumah di kampung Kubang Gabus, Banggol Kulim di sini," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Maklumnya, tiga anggota Bomba ditugaskan menangkap ular berkenaan.
Menurut Imran lagi, setakat ini hanya satu kes membabitkan tangkapan ular tedung sepanjang banjir buruk yang melanda Rantau Panjang.
Banjir buruk yang melanda Rantau Panjang sehingga menghanyutkan lima buah rumah, merosakkan rumah dan tanaman serta menyebabkan lebih 12,000 mangsa banjir dipindahkan di daerah Rantau Panjang disifatkan luar biasa kali ini.
Ia turut menyukarkan penduduk yang terkesan untuk bangkit meneruskan kehidupan.
Salah seorang mangsa banjir dari Kampung Kursal, Gual Periuk, Mastura Abdullah, 32, menyifatkan banjir melanda kampungnya sebagai luar biasa.
"Rumah saya tenggelam, hanya nampak bumbung, semua peralatan dalam rumah tenggelam, termasuk peti sejuk, mesin basuh, tilam dan sebagainya," katanya.
"Kami berlindung di Pusat Pemindahan Sementara SK Gual Tinggi dan apabila pulang, saya demam empat hari kerana terkejut semua barang rumah musnah dan rosak," katanya.
Ibu kepada empat anak serta suami yang berkerja kampung itu buntu untuk memulakan kehidupan baru.
"Semuanya musnah, saya masih lagi menunggu bantuan pembayaran (RM2,500) untuk kerosakan rumah, kali pertama banjir Disember tahun lepas tak dapat bantuan tu, kalau ada bantuan duit tu, boleh saya beli tilam untuk anak-anak dan belanja dapur," katanya.
Dia bagaimanapun sudah menerima wang Bantuan Wang Ihsan berjumlah RM1,000 baru baru ini.
Mastura antara puluhan penduduk kampung Kursal yang terjejas teruk kerana sebahagian kampung itu tenggelam sewaktu banjir baru baru ini.
#Rantau Panjang #mangsa banjir #ular tedung #Balai Bomba dan Penyelamat
;